Home Nasional 22 cabutan judi: Hanipa Maidin ‘tabik’ kerajaan Melayu Islam Pas

22 cabutan judi: Hanipa Maidin ‘tabik’ kerajaan Melayu Islam Pas

Mohamed Hanipa Maidin bercakap kepada media di lobi Parlimen, Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 27 NOVEMBER 2019

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Sepang, Mohamed Hanipa Maidin mempersoalkan sikap diam diri pimpinan tertinggi Pas berhubung kebenaran yang diberi kerajaan pusat kepada syarikat perjudian melakukan 22 cabutan khas pada tahun ini.

Justeru itu, beliau mendesak Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Idris Ahmad memberikan dalil-dalil kepada kebenaran itu kerana Pas merupakan sebahagian daripada Kerajaan Persekutuan.

“Kita harap kerajaan Melayu Islam yang ada Pas ini boleh menjawab kenapa di zaman kerajaan Melayu Islam ini, tiba-tiba daripada 8 jadi 22 (cabutan khas).

“Saya tabik dan harap Menteri Agama boleh jawab. Sekarang banyak desakan daripada pemimpin-pemimpin Pas supaya mereka menarik balik sokongan daripada kerajaan kerana mereka telah gagal mempertahankan Islam walaupun parti berlandaskan Islam,” katanya ketika membahaskan Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12) pada persidangan Dewan Rakyat, hari ini.

Hanipa dalam nada sinis berkata, pemimpin Pas perlu berhenti membaca ayat-ayat Al-Quran di Dewan Rakyat sedangkan mereka membiarkan aktiviti perjudian dipergiatkan di negara ini.

“Mereka (Ahli-ahli Parlimen Pas) dalam Parlimen sentiasa membaca ayat-ayat Al-Quran, baca ayat judilah.

“Jangan baca ayat lain, baca ayat judi,” sinis Hanipa.

Pada minggu lalu, Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz mengesahkan kerajaan memberi kebenaran kepada semua syarikat nombor ramalan untuk melaksanakan 22 cabutan khas sepanjang 2021.

Tengku Zafrul berkata demikian di Dewan Rakyat sebagai menjawab soalan Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar.

Kadar kekerapan 22 kali setahun itu diberikan kerajaan Barisan Nasional (BN) sebelum gabungan itu jatuh dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 pada Mei 2018.

Apabila Pakatan Harapan menjadi kerajaan, kekerapan itu diturunkan menjadi 11 kali pada 2019 dan hanya lapan pada tahun berikutnya. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Kenapa pas tak keluar dalil judi itu harus atau halal???? . Dah lupa ke kesah nabi dulu atau takut tak lepas debat nanti??? . Kesian pas rasa nya takut lebih besar sedangkan burung hudhud pun tak boleh selesai nanti kena sekali lagi pas kena chop sesat . Lebih baik diam .

Comments are closed.