Home Nasional Institusi pendidikan KPM di Selangor, Melaka KL, Putrajaya kekal dibuka pada 4...

Institusi pendidikan KPM di Selangor, Melaka KL, Putrajaya kekal dibuka pada 4 Okt

Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Institusi pendidikan di bawah Kementerian Pendidikan (KPM) di Selangor, Melaka, Kuala Lumpur dan Putrajaya kekal dibuka pada 4 Oktober berdasarkan ketetapan pengoperasian negeri Fasa Dua Pelan Pemulihan Negara.

KPM dalam kenyataan hari ini memaklumkan kementerian itu menetapkan sekiranya sesebuah negeri beralih ke fasa seterusnya, pengoperasian institusi pendidikan bawah KPM mengikut ketetapan fasa baharu hanya akan dilaksanakan selepas dua minggu daripada tarikh peralihan ke fasa berkenaan.

Pada 29 September, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan peralihan fasa PPN bagi Selangor, Melaka, Kuala Lumpur dan Putrajaya ke Fasa Tiga manakala Kedah beralih ke Fasa Dua berkuatkuasa 1 Oktober.

“Oleh itu pengoperasian institusi pendidikan di negeri berkenaan (Selangor, Melaka, Kuala Lumpur dan Putrajaya) mengikut ketetapan Fasa Tiga PPN akan bermula pada 18 Oktober 2021.

“Ini melibatkan pertambahan kemasukan murid lain meliputi murid prasekolah, kelas peperiksaan awam di sekolah asrama sepenuhnya/sekolah harian/sekolah swasta, International Baccalaureate Diploma (IBD), Prauniversiti Sekolah Sukan Malaysia serta kelas peperiksaan antarabangsa yang lain,” menurut kenyataan itu.

Pengoperasian Fasa Dua pula melibatkan Murid Berkeperluan Khas di Sekolah Kebangsaan Pendidikan Khas, Sekolah Menengah Kebangsaan Pendidikan Khas, Sekolah Menengah Pendidikan Khas Vokasional dan Program Pendidikan Khas Integrasi.

Ini turut melibatkan murid Tingkatan Enam Semester Dua, International Baccalaureate Diploma Tahun Dua, Program Prauniversiti Semester Tiga di Sekolah Sukan Malaysia dan Murid kelas peperiksaan antarabangsa (IGCSE O-Level, A-Level, Australia Higher School Certificate dan IBDP).

Bagi pembukaan institusi pendidikan bawah KPM di Kedah, kekal pada 10 Oktober untuk kelas Tingkatan Enam Semester Dua dan kelas peperiksaan antarabangsa (IGCSE O-Level) manakala ketetapan pengoperasian Fasa Dua PPN termasuk Kolej Vokasional hanya akan bermula 17 Oktober.

KPM memaklumkan pembukaan institusi pendidikan bawah KPM bagi Zon Selatan negeri Sarawak juga kekal pada 4 Oktober berdasarkan ketetapan pengoperasian bagi negeri Fasa Dua PPN.

Ini susulan pengumuman Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak berhubung peralihan Zon Selatan negeri Sarawak ke Fasa Tiga PPN berkuatkuasa 1 Oktober namun pengoperasian institusi pendidikan mengikut ketetapan negeri Fasa Tiga PPN hanya akan bermula pada 18 Oktober.

Bagaimanapun KPM memaklumkan semua institusi pendidikan bawah KPM yang berada dalam kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) adalah ditutup sepanjang tempoh PKPD berkuatkuasa.

Oleh itu, semua murid di kawasan yang terlibat perlu mengikuti pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR), menurut KPM.

KPM dalam kenyataan sama memaklumkan institusi pendidikan bawah KPM turut merujuk kepada institusi pendidikan swasta berdaftar bawah KPM bagi kategori sekolah dan kategori pusat.

KPM turut menyaran ketetapan ini digunakan di semua institusi pendidikan tidak berdaftar dengan KPM termasuk institusi pendidikan bawah kerajaan negeri. – Bernama