Home Utama Kenapa Zuraida umum kes arwah Adib ditutup sementara? – PEMBELA

Kenapa Zuraida umum kes arwah Adib ditutup sementara? – PEMBELA

Pengerusi Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA), Aminuddin Yahaya berkaitan penutupan kes kematian anggota bomba, Allahyarham Adib Kassim di Ibu Pejabat Pertubuhan Muafakat, Taman Melawati, Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 30 SEPTEMBER 2021.

KUALA LUMPUR – Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELAa) rasa tidak puas hati terhadap keputusan menutup sementara kes kematian membabitakan anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim seperti yang dilaporkan beberapa hari lalu.

Selain itu, NGO berkenaan turut mempersoalkan mengapa keputusan penting sedemikian dimaklumkan oleh Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Zuraida Kamaruddin dan bukan Kementerian Dalam Negeri mahu pun Ketua Polis Negara.

Pengerusinya, Aminuddin Yahaya berkata, kenyataan yang dikeluarkan Ahli Parlimen Ampang itu bukan sahaja mengejutkan rakyat malah turut menidakkan keadilan terhadap keluarga allahyarham selain menimbulkan banyak persepsi.

“Kenapa pengumuman ini dibuat oleh Zuraida walhal kes ini tidak melibatkan kementerian beliau yang sekarang?

“Apa yang dimaksudkan dengan sementara adakah ia sebulan, dua bulan atau pun setahun? Kita sendiri tidak faham apa yang dimaksudkan dengan sementara malah ia menimbulkan polemik selain tidak tahu niat tersirat di sebalik semua ini.

“Apa yang lebih menghairankan dari mana akan dapat bukti-bukti baharu jika kes ini telah ditutup?” soalnya pada sidang media di Taman Melawati hari ini.

Turut hadir Naib Pengerusi PEMBELA, Mohd Nor Izzat Mohd Johari.

Dalam masa sama, Aminuddin turut mempersoalkan adakah bukti-bukti seperti rakaman video dan gambar semasa kejadian di lokasi berkenaan masih tidak mencukupi untuk mengheret pesalah ke muka pengadilan.

“Kita musykil dengan zaman teknologi yang begitu canggih pada hari ini pasti dapat mengenal pasti tetapi dikatakan tidak dapat tahu suspek yang terlibat dengan kes ini.

“Gambar dan video begitu banyak tersiar di media sosial tetapi seolah-olah masih belum dapat dikenal pasti.

“Kalau kita ingat contoh-contoh kes sebelum ini seperti membabitkan mendiang Kevin Morais yang disimen di dalam tong pun dapat dikesan dan pelbagai kes lain.

“Setelah pelbagai bukti gambar dan sebagainya, suspek telah pun di reman namun masih dikatakan tidak ada bukti yang kukuh terhadap suspek,” ujarnya.

Menurut Aminuddin lagi, walaupun beberapa perusuh pada malam kejadian telah didakwa namun ia tidak ada kena mengena dengan kes kematian Allahyarham Adib.

Justeru beliau mendakwa tindakan pendakwaan tersebut tidak relevan selain tidak memberi apa-apa kesan kepada kes anggota bomba itu.

“PEMBELA ingin menegaskan sekali lagi bahawa kes ini bukan soal keagamaan atau perkauman tetapi keadilan kepada Allahyarham Adib dan keluarganya. Jika kes ini tidak dapat diselesaikan dengan sewajarnya maka kewibawaan dan integriti pihak keselamaran bakal dipersoal oleh rakyat.

“Dalam masa sama kita juga tidak mahu berlakunya isu ‘double standard’ dalam kerajaan menangani pelbagai kes.

“Sebab itu Pembela menuntut agar kerajaan dapat meneruskan siasatan sebagaimana yang diarahkan oleh mahkamah selain Menteri Dalam Negeri juga pernah membuat kenyataan bahawa siasatan sudah berada di peringkat akhir,” katanya.

Antara lain yang dituntut oleh PEMBELA berkenaan kes Allahyarham Adib termasuklah mendedahkan hasil siasatan kepada rakyat bagi membuktikan kesungguhan dan menampakkan integriti pihak keselamatan, Peguam Negara meneruskan pendakwaan jika pesalah dikenal pasti dan Majlis Keselamatan Negara mengambil perhatian serius kerana ia melibatkan nyawa penjawat awam.

Selain itu, pihaknya turut menuntut agar Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) menjalankan siasatan dan mengeluarkan kenyataan sokongan kerana melibatkan hak seorang penjawat awam dan keluarganya.

“Kita seru semua pihak untuk menyokong tuntutan ini dan berjuang dalam mempertahankan keadilan kepada semua rakyat.

“PEMBELA juga menyeru kepada semua menteri dan wakil rakyat yang pernah mengadakan demonstrasi dan membuat desakan kepada kerajaan sebelum ini untuk memberikan keadilan sewajarnya dan tidak sesekali melupakan kes ini,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan kes kematian Muhammad Adib ditutup sementara dan akan dibuka semula sekiranya terdapat bukti baharu.

Zuraida berkata, kerajaan kini akan memberi fokus terhadap keperluan keluarga Muhammad Adib.

Untuk rekod, Muhammad Adib yang juga anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) Balai Bomba dan Penyelamat Subang Jaya parah dalam rusuhan ketika kekecohan di tapak Kuil Sri Maha Mariamman di USJ 25, Subang Jaya pada 27 November 2018 sebelum meninggal dunia di Institut Jantung Negara selepas 21 hari bertarung nyawa. – MalaysiaGazette