Home Nasional Mahkamah tetapkan 27 Oktober bagi rayuan batal kes dadah anak Mohamad Sabu

Mahkamah tetapkan 27 Oktober bagi rayuan batal kes dadah anak Mohamad Sabu

Ahmad Saiful Islam Mohamad ketika diperintah membela diri bagi tuduhan penyalahgunaan dadah di sebuah hotel terkemuka tahun lalu.

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi di sini menetapkan 27 Oktober ini bagi keputusan rayuan membatalkan sabitan dan hukuman penjara lapan bulan terhadap anak bekas Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu iaitu Ahmad Saiful Islam.

Ahmad Saiful Islam telah membuat rayuan terhadap sabitan serta hukuman atas kesalahan penyalahgunaan dadah.

Hakim Mahkamah Tinggi, Collin Lawrence Sequerah menetapkan tarikh itu setelah selesai mendengar rayuan pada hari ini dan tarikh tersebut disahkan peguam mewakili Ahmad Saiful, Nasar Khan kepada media.

Pada Jun tahun lalu Ahmad Saiful Islam Mohamad didapati bersalah oleh Mahkamah Majistret Kuala Lumpur atas dakwaan penyalahgunaan dadah di sebuah hotel pada awal tahun lalu.

Majistret Mohamad Aizat Abdul Rahim memutuskan Ahmad Saiful dihukum penjara 8 bulan atas kesalahan yang dilakukan itu.

Menurut Mohamad Aizat, keputusan tersebut dicapai selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya menimbulkan kes melampaui keraguan munasabah terhadap anak Mohamad itu.

Ahmad Saiful, 32, ditahan bersama 101 individu lain dalam serbuan di sebuah pusat hiburan di Jalan Ampang, Kuala Lumpur, pada awal tahun lalu.

Dia ditahan dalam serbuan dilakukan Bahagian Kongsi Gelap, Maksiat dan Perjudian (D7) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi pada jam 3 pagi.

Difahamkan Ahmad Saiful bersama rakannya berusia 33 tahun dipercayai sedang berhibur ketika operasi dijalankan.

Ujian saringan awal air kencing terhadap lelaki itu mendapati dia positif ganja. – MalaysiaGazette