KUALA LUMPUR – Penonton akan kembali mewarnai kancah bola sepak tempatan selepas penyokong dibenarkan untuk menyaksikan perlawanan di stadium mulai Jumaat ini.
Perkembangan itu diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam satu kenyataan semalam
Ismail Sabri berkata kebenaran itu diberikan selepas tiada lagi negeri yang berada dalam Fasa 1 susulan Kedah yang beralih dari Fasa 1 kepada Fasa 2 sekali gus menyaksikan beberapa kelonggaran baharu dibenarkan.
“Membenarkan kehadiran penonton/penyokong ke tempat perlawanan sukan dan rekreasi di negeri Fasa 2, Fasa 3, dan Fasa 4. Kehadiran ini meliputi sebelum, semasa dan selepas acara sukan serta rekreasi.
“Dengan syarat, penonton/penyokong sudah menerima vaksinasi lengkap, memakai pelitup muka sepanjang perlawanan serta tiada aktiviti makan minum sepanjang berada di stadium.
“Kanak-kanak bawah umur 18 tahun tidak dibenarkan untuk menonton perlawanan di tempat acara sukan berlangsung,” katanya.
Mengikut rekod, kali terakhir stadium kembali bergema dengan sorakan penyokong apabila kerajaan membenarkan kehadiran penonton ke stadium pada awal April lalu, iaitu lebih setahun selepas Liga Malaysia terpaksa ditangguhkan pada 16 Mac 2020 susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 1.0.
Dua perlawanan Liga Super membabitkan pertemuan JDT menentang Melaka United FC di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri pada 2 April dan Kuala Lumpur City FC berdepan Sabah FC di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras pada 3 April dijadikan sebagai projek perintis bagi kemasukan penonton ke stadium. – MalaysiaGazette