Home Nasional PM arah Jemaah Menteri umum kad laporan pencapaian 100 hari kepada rakyat

PM arah Jemaah Menteri umum kad laporan pencapaian 100 hari kepada rakyat

KUALA LUMPUR – Ahli Jemaah Menteri diarah untuk mengumumkan Kad Laporan Pencapaian Aspirasi Keluarga Malaysia 100 hari ini kepada rakyat.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakub berkara, ini bagi menilai pencapaian pretasi menteri dan juga kementerian demi kesejahteraan Keluarga Malaysia.

“Kerajaan meletakkan pencapaian aspirasi tersebut bagi setiap Ahli Jemaah Menteri sebagai keutamaan tertinggi bagi memberi khidmat terbaik kepada rakyat.

“Pada 24 September 2021 dan 29 September 2021 saya telah mengadakan sesi bersama kesemua 31 Ahli Jemaah Menteri untuk memuktamadkan senarai aspirasi yang telah dicadangkan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, prestasi setiap Ahli Jemaah Menteri akan dinilai berdasarkan tiga elemen utama iaitu Penilaian Prestasi Kementerian/Jabatan, Penilaian Kepimpinan berdasarkan keberkesanan keberhasilan inisiatif, serta Penilaian Persepsi Awam terhadap Ahli Jemaah Menteri dan Kementerian/Jabatan di bawah tanggungjawab mereka.

“Dalam hal ini, Pejabat Ketua Setiausaha Negara, Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU) dan Unit Penyampaian Kemakmuran Bersama (SEPADU) akan bertindak sebagai penyelaras bersama bagi memastikan perancangan, pelaksanaan, pemantauan dan penambahbaikan setiap aspirasi Keluarga Malaysia oleh Ahli Jemaah Menteri dapat dijayakan dengan cemerlang,” ujarnya.

Pada 10 September lalu, mesyuarat Jemaah Menteri bersetuju Ahli Jemaah Menteri membentangkan laporan prestasi setiap aspirasi masing-masing bagi 100 hari pertama pentadbiran kerajaan bermula dari 1 September 2021 iaitu pada hari pertama Mesyuarat Jemaah Menteri diadakan.

Pelaksanaan inisiatif-inisiatif bagi setiap aspirasi adalah berlandaskan enam Teras Utama iaitu menstruktur semula ekonomi, menjamin keselamatan dan ketenteraman negara, meningkatkan kesejahteraan sosial, mempertingkatkan infrastruktur menyeluruh, memperkukuh penyatuan dalam acuan Keluarga Malaysia dan memperkasa penyampaian perkhidmatan. – MalaysiaGazette