Home Dunia 5 insiden gastroenteritis di Singapura selepas makan kuih bulan dari M’sia

5 insiden gastroenteritis di Singapura selepas makan kuih bulan dari M’sia

Gambar hiasan #malaysiagazette

SINGAPURA – Singapura sedang menyiasat lima insiden gastroenteritis membabitkan 23 orang yang dilaporkan mengalami gejala itu selepas makan kuih bulan dari Malaysia.

Dalam satu kenyataan bersama, Kementerian Kesihatan Singapura dan Agensi Makanan Singapura (SFA) memaklumkan seorang dimasukkan ke hospital dan sudah dibenarkan keluar manakala yang lain sama ada mendapatkan rawatan pesakit luar, berubat sendiri atau sembuh tanpa rawatan.

Kuih Bulan Mao Shan Wang Snowskin diimport oleh Mdm Ling Bakery Pte Ltd dan dijual di kedai-kedai runcit di Singapura.

“SFA telah mengarahkan pengimport segera hentikan jualan serta pengedarannya dan menarik balik produk berkenaan dari pasaran,” menurut kenyataan itu.

Gastroenteritis adalah radang perut dan usus yang menyebabkan cirit-birit, kekejangan perut, mual atau muntah, serta demam, akibat makanan atau air yang tercemar. – BERNAMA