KUALA LUMPUR – Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) yang dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob merupakan satu garapan komprehensif bagi pemulihan negara menjelang pasca pendemik Covid-19.
Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Shah Alam, Mohd Dendera Billah Zamzuri berkata, pendekatan itu selaras dengan konsep Keluarga Malaysia untuk menghadapi cabaran ekonomi, penyediaan peluang pekerjaan serta merapatkan jurang pembangunan antara wilayah.
“Peningkatan kualiti perkhidmatan kepada rakyat akan ditambah baik demi memastikan tiada rakyat tercicir daripada arus pembangunan yang dijanakan oleh kerajaan agar kemakmuran yang dikecapi dapat dikongsi bersama.
“Sasaran 2025 untuk menjadikan Malaysia sebuah negara berpendapatan tinggi dan merapatkan jurang ekonomi antara rakyat perlu disambut baik oleh semua pihak.
“Sekaligus ia mampu meningkatkan keupayaan negara dalam menghadapi apa jua cabaran mendatang,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Isnin lalu, Perdana Menteri membentangkan RMK12 di Dewan Rakyat bertemakan ‘Keluarga Malaysia Makmur, Inklusif, Mampan’,
Menurut Perdana Menteri, RMK12 bermatlamat mengembalikan semula momentum pertumbuhan ekonomi dan mencapai matlamat pembangunan jangka panjang negara.
Dalam pada itu, usaha kerajaan untuk mencapai tahap negara berteknologi tinggi dan pembangunan teknologi hijau berupaya meningkatkan keupayaan negara dalam bidang sains dan teknologi.
“Bahkan dapat memelihara alam sekitar, terutamanya dengan agenda pengurangan intensity pelepasan gas rumah kaca atau Green House Gas (GHG) sebanyak 45 peratus,” katanya.
Selain itu, katanya RMK12 juga dengan jelas telah memperincikan pemantapan holistik golongan belia, meliputi pembangunan sosial, ekonomi dan intelektual.
“Dengan inisiatif baharu ini, ia diyakini dapat melahirkan golongan belia yang berinovasi dan berdaya saing di peringkat tempatan dan antarabangsa,” katanya.
Tambahnya, mereka berharap anak muda dari kawasan bandar dan luar bandar dapat memanfaatkan segala inisiatif dan perancangan yang bakal dilaksanakan kerajaan.
“Lebih-lebih lagi dalam hal-hal berkaitan pertambahan ilmu pengetahuan dan kemahiran penting bagi meningkatkan tahap ekonomi diri mereka, keluarga, masyarakat dan negara,” katanya.
Katanya lagi, sayap UMNO itu juga menyambut baik keputusan kerajaan untuk menaik taraf fasiliti belia seperti Akademi Pembangunan Belia Malaysia dan Kompleks Belia dan Sukan bagi merancakkan aktiviti sihat dalam kalangan belia di negara ini.
“Secara keseluruhan, Pemuda UMNO Bahagian Shah Alam, amat berpuas hati dengan pembentangan RMK12 dan berharap agar agenda kerajaan ini dapat dilaksanakan dengan adil dan saksama demi kepentingan seluruh rakyat Malaysia,” katanya lagi. – MalaysiaGazette