PANDEMIK COVID-19 yang diisytihar sejak 11 Mac 2020 masih berlaku. Masih segar dalam ingatan pada tahun lalu, negara dan dunia menyaksikan keadaan terumbang-ambing akibat impak penularan wabak Covid-19 yang bermula dari Wuhan, China.
Impak pandemik Covid-19 yang merangkumi hampir segenap aspek kehidupan, baik ekonomi, pendidikan, sosial dan politik masih terus dirasai. Bahkan, ada pihak meramalkan impak ini akan berlanjutan sehingga beberapa tahun lagi dan tidak akan selesai pada tahun ini, meskipun dengan kewujudan vaksin COVID-19.
Dalam arena pendidikan, kita dapat menyaksikan semua institusi pendidikan, baik sekolah mahupun institut pengajian tinggi (IPT), terpaksa beralih kepada pengajaran dan pembelajaran berbentuk digital atau maya kerana kekangan untuk pertemuan bersemuka
akibat wabak ini. Pada permulaan pandemik COVID-19, jelas ramai pendidik dan pelajar, baik di sekolah atau IPT agak kekok untuk mengajar dan belajar dalam medium digital. Komentar
yang sering diperkatakan antaranya ialah kaedah pengajaran dan pembelajaran sebegini yang dikatakan tidak dapat menandingi kualiti pengajaran dan pembelajaran secara bersemuka.
Setelah lebih setahun kita melalui pandemik COVID-19 ini, kita mungkin semakin terbiasa dengan pendidikan dalam bentuk digital. Ini kerana persekitaran kita telah mula mengkondisikan pemikiran dan tingkahlaku kita untuk berubah demi sebuah adaptasi kepada suasana baharu. Suka atau tidak, setelah pandemik ini berakhir sekalipun, ramai menjangkakan bahawa mod pengajaran dan pembelajaran secara maya ini akan kekal. Ini kerana kebanyakan pihak semakin menyedari faedah-faedah yang ada dalam pendidikan bentuk sebegini, khususnya cirinya yang lebih fleksibel pada masa dan pelaksanaan.
Dalam konteks akademia, adalah dipercayai bahawa sebahagian besar kursus-kursus akademik di IPT akan terus dijalankan secara digital terutama jika ia tidak memerlukan kerja makmal atau bengkel. Maka, revolusi pendidikan tinggi atau revolusi akademia dijangka akan berlaku apabila para ahli akademik dan pelajar semakin menerima nilai-nilai pendidikan tinggi berbentuk akademia digital.
Ini tidaklah bermakna kewujudan universiti secara fizikal tidak lagi diperlukan, sebaliknya kemudahan sedemikian hanya diperlukan pada saat ia benar-benar diperlukan. Realitinya, universiti masa kini beroperasi melangkaui dinding kampus. Urusan dengan pihak-pihak lain di luar universiti seperti pihak kerajaan, industri dan komuniti menjadikan dunia akademia, pada konsep dan praktikalnya, semakin meluas. Justeru, pada beberapa tahun mendatang, fungsi yang boleh dimainkan oleh universiti ialah agar ia boleh berperanan sebagai hab atau pusat kerja bagi pelbagai jenis agensi.
Universiti dijangka beroperasi secara bersemuka dan digital kerana kedua-dua jenis urusan ini menawarkan kelebihan tertentu. Contohnya, urusan bersemuka akan membuka ruang kepada perbincangan yang lebih dekat dan mendalam kerana faktor insani yang ada pada pihak-pihak yang berurusan.
Urusan secara digital pula tentunya dapat memberikan kelebihan kepada masa kerana sudah tidak perlu lagi semua pihak menghabiskan masa semata-mata untuk ke kaunter perkhidmatan pejabat universiti.
Persoalan tentang akademia adalah melangkaui dimensi pengajaran dan pembelajaran kerana fungsi universiti masa kini dan akan datang semakin kompleks, terutama bagi universiti penyelidikan yang menjadi enjin utama kepada kecemerlangan pendidikan tinggi Malaysia. Pada tahun-tahun mendatang, revolusi akademia mungkin akan menyaksikan semakan besar-besaran terhadap program akademik yang ditawarkan oleh universiti.
Semakan ini dijangka berlaku kerana pandemik COVID-19 mengajar kita bahawa masalah sekompleks wabak ini tidak boleh diselesaikan hanya dengan perspektif kesihatan, sebaliknya menarik bersamanya perspektif melibatkan psikologi insani, ekonomi insani, pendidikan insani, dan bahkan politik insani.
Justeru, program-program akademik universiti akan menyerlahkan lagi ciri-ciri yang lebih bersifat merentas disiplin ilmu, seperti ilmu Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) dengan ilmu kemanusiaan dan sains sosial seperti pendidikan, psikologi, kaunseling, komunikasi dan etika.
Pada masa inipun universiti mula menawarkan program akademik merentas disiplin ilmu, namun pada tahun-tahun mendatang, pendekatan ini dijangka akan terus bertapak lebih kuat dalam sistem pendidikan tinggi negara. Pada masa-masa mendatang, lanskap akademia negara akan dipacu dengan agenda digitalisasi dan insani yang lebih tersurat berbanding tersirat. Jika kita hanya berfokus kepada salah satu daripada dua perkara ini, kita sebenarnya tidak benar-benar mengambil peluang daripada pengajaran yang dibentuk dalam tempoh pandemik COVID-19 iaitu semakin ramai pendidik dan pelajar menerima pendidikan
berbentuk digital.
Jika kita ketepikan pula soal insani, maka kita juga gagal dalam memahami kompleksiti dalam penyelesaian yang diambil dalam menangani wabak COVID-19. Kompleksiti seperti kedegilan sebilangan orang mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) dalam mengekang penularan virus COVID-19, sikap anti-vaksin dan kesukaran menjangkakan bilakah pandemik ini akan berakhir menyerlahkan nilai-nilai insani yang diperlukan dalam berdepan suasana yang hampir dengan ciri VUCA, iaitu iaitu Volatility
(Ketakterjangkaan), Uncertainty (Ketidakpastian), Complexity (Kerumitan), dan Ambiguity (Kesamaran).
Ahli-ahli akademik sebagai pemikir negara haruslah melihat COVID-19 sebagai titik permulaan kepada Revolusi Akademia yang bakal berlaku pada tahun mendatang. Tidaklah Tuhan mentakdirkan pandemik ini berlaku tanpa sebab. Pastinya DIA
menghendaki kita untuk terus berfikir yang terbaik buat akademia, negara, dan rakyat.
Selamat Hari Akademia 2021 buat semua ahli akademik Malaysia.
Oleh: Profesor Datuk Ts Dr Ahmad Fauzi Ismail &
Dr Muhammad Abd Hadi Bunyamin