Home Nasional Polis buat rondaan berkala di seluruh hotel P.Pinang

Polis buat rondaan berkala di seluruh hotel P.Pinang

Mohd Shuhaily (kiri) meninjau Hotel Shangri-La Rasa Sayang Resort dan Spa di Batu Feringghi, Pulau Pinang hari ini.

BATU FERINGGHI – Polis Pulau Pinang akan melakukan rondaan secara berkala di seluruh hotel di negeri bagi memastikan semua pihak mematauhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Ketua Polis negeri, Datuk Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, pihaknya sudah mengadakan perjumpaan dengan persatuan hotel negeri ini serta agensi penguatkuasa lain agar pembukaan industri pelancongan itu berjalan lancar dengan pematuhan SOP yang ketat.

Mohd Shuhaily.

Antara agensi terlibat Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Kementerian Kesihatan (KKM), Majlis Bandaraya Pulau Pinang dan Majlis Bandaraya Seberang Perai.

“Kita sedia maklum MOTAC peneraju kepada industri ini (pelancongan) jadi segala perkembangan daripada pihak itu akan menjadi rujukan polis.

“Kefahaman pihak industri dan penguatkuasaan itu penting dan ia dilihat sebagai satu usaha itu untuk menyeragamkan pemantauan dan pematuhan SOP,” kata beliau.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas meninjau pembukaan semula operasi di Hotel Shangri-La Rasa Sayang Resort dan Spa di sini, hari ini.

Hotel di Pulau Pinang sudah bersedia menerima pengunjung.

Mohd Shuhaily berkata, berdasarkan tinjauan dan pertemuan pihak polis dengan persatuan hotel di negeri itu mendapati pengiat industri berkenaan sudah bersedia menerima pengunjung.

“Berdasarkan pemantauan kita lihat pihak hotel mematuhi ketetapan yang dikeluarkan MKN dan bersedia menerima pengunjung dalam negeri ini.

“Pihak hotel juga memaklumkan tempahan juga kian meningkat dan kita harap hasrat kerajaan untuk merancakkan semula industri pelancongan ini tercapai.

“Dalam masa sama, orang ramai diingatkan untuk terus mematuhi SOP ditetapkan bagi memastikan rantaian wabak Covid-19 dapat diputuskan,” jelas Mohd Shuhaily.

Dalam perkembangan sama, Mohd Shuhaily berkata, setakat ini sebanyak 36 sekatan jalan raya (SJR) didirikan di negeri ini dan pihaknya menunggu keputusan dasar untuk menamatkan SJR tersebut.

“Seperti di Kuala Lumpur arahan MKN untuk menamatkan SJR tersebut dan saya menanti keputusan dasar tersebut.

“Sekiranya SJR ditamatkan anggota terlibat dalam ditempatkan dalam pasukan pemantauan SOP untuk memperhebatkan lagi pemantauan di tempat tumpuan awam termasuk pusat beli belah bersama agensi penguatkuasaan lain.

“Buat masa ini, sebanyak 86 pasukan pemantauan pematuhan SOP digerakkan dengan bantuan agensi lain seperti Jabatan Sukarelawan Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam dan lain-lain,” kata Mohd Shuhaily. – MalaysiaGazette