Home Nasional Qhaizul perlu jalani ujian tahap trauma

Qhaizul perlu jalani ujian tahap trauma

Dr Muhammad memeriksa Qhaizul Izhar Munawar di KPJ Johor Bahru.
JOHOR BAHRU – Qhaizul Izhar Munawar, yang terlibat dalam  kemalangan tragis hingga menyebabkan abangnya maut kerana tercampak jatuh dari laluan bertingkat Lebuh Raya Lingkaran Penyuraian Timur (EDL) baru-baru ini perlu menjalani rawatan susulan bagi mengetahui tahap trauma dan tekanan dialami.
Pegawai Perubatan Kesihatan Pekerjaan, Hospital Pakar KPJ Johor, Dr. Muhammad Yazid Abd. Manaf berkata, Qhaizul, 19, juga perlu dirujuk kepada pakar psikiatri dan psikologi dalam menguruskan trauma yang dihadapinya.
Menurut beliau, individu yang mengalami trauma dalam kategori teruk yang mana melibatkan kemalangan kematian salah seorang keluarga terdekat boleh menjejaskan fikiran dan emosi seseorang.
“Tragedi ini akan menjejaskan mental dan emosi. Mangsa akan mengalami post traumatic stress disorder iaitu tekanan atau trauma selepas kemalangan.
”Jadi saya  menasihatkan ibu bapa pesakit supaya rujuk anaknya kepada pakar psikiatri atau psikologi supaya dia dapat menangani stres atau trauma yang dihadapi dengan lebih baik,”katanya ketika memberi rawatan percuma kepada mangsa di sini.
Qhaizul telah ditemani bapanya, Munawar Karim, 43, serta ibu, Suriani Ponjian, 40.
Antara rawatan yang diberikan ialah melakukan pemeriksaan tubuh menerusi pengimbas sinar-x atau x-ray, pemeriksaan dan penjagaan luka serta keperluan perubatan.
Rawatan yang diberikan ini merupakan tanggungjawab sosial korporat kepada golongan yang kurang bernasib baik.
Pihak pengurusan turut menyampaikan beberapa sumbangan antaranya wang ringgit hasil kutipan tabung khas dan keperluan kesihatan seperti alat pelitup muka dan pembasmi pencuci tangan kepada keluarga berkenaan.
Tragedi yang menyayat hati ini berlaku pada  25 September lalu ketika mangsa membawa pulang adiknya selepas menerima vaksin Covid-19.
Mangsa, Muhamad Nur Ramadan Munawar, 21, maut selepas tercampak jatuh dari laluan bertingkat EDL.
Dalam kejadian pukul 11.20 pagi itu berlaku selepas motosikal itu terbabas dan melanggar tembok konkrik di Kilometer 4 Lebuh Raya EDL.-  MalaysiaGazette