BENTONG – Kebakaran di Kampung Baru Cina di Karak malam tadi melibatkan sebanyak 48 buah kediaman dan lapan premis kesemuanya.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Pahang, Wan Mohd Zaidi Wan Isa berkata, tiada sebarang kemalangan jiwa dilaporkan.
Menurutnya, pihaknya menerima laporan mengenai kejadian terbabit jam lebih kurang 9.20 malam dan sejurus menerima panggilan, sepasukan anggota bersama jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Karak dikejarkan ke lokasi kejadian.
Bagaimanapun, sejurus tiba ke lokasi, situasi kebakaran yang membabitkan banyak premis itu memaksa pasukan bantuan dari BBP Mentakab, BBP Bentong dan BBP Temerloh turut dikejarkan ke lokasi untuk berusaha mengawal api daripada terus merebak.
Operasi memadam kebakaran besar itu yang berlarutan selama lebih tiga jam.
Difahamkan kepulan asap tebal daripada kebakaran dapat dilihat penduduk pada radius empat kilometer.
“Sebanyak 48 rumah dan lapan kedai musnah sepenuhnya serta rosak teruk dalam kebakaran itu tapi setakat ini kami belum dapat menentukan jumlah sebenar penduduk yang terbabit dalam kejadian itu,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Tambah Wan Mohd Zaidi, seramai 52 anggota dan pegawai bomba serta tujuh jentera dikerah ke tempat kejadian untuk memadamkan kebakaran.
Menurutnya, bomba juga dibantu oleh 90 anggota polis, tentera serta anggota bomba sukarela dan anggota badan bukan kerajaan (NGO).
Menurut Wan Mohd Zaidi, kebakaran dapat dikawal dan dipadamkan kira-kira jam 12.20 tengah malam tadi dan sehingga kini, kerja-kerja memadamkan sisa kebakaran masih diteruskan.
Justeru kira-kira 150 individu dipercayai terkesan akibat kebakaran berkenaan dan hilang tempat tinggal sekadar sehelai sepingggang.
“Kesemua mangsa terjejas mereka ditempatkan sementara di sekolah berdekatan pekan Karak,” ujarnya.
Jabatan Bomba dan Penyelamat Pahang sedang terlibat dalam penyiasatan bagi mengenalpasti punca berlakunya kebakaran itu.
Dalam pada itu, difahamkan Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dijangka hadir ke lokasi untuk meninjau kawasan kebakaran lawatan dan bertemu penduduk sekitar jam 3 petang ini.-MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN:
Kira-kira 30 buah rumah, kedai musnah dalam kebakaran di Bentong