Home Nasional PERKESO mahu pastikan setiap rakyat diberi perlindungan sosial sewajarnya

PERKESO mahu pastikan setiap rakyat diberi perlindungan sosial sewajarnya

Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed

KUALA LUMPUR – Satu Pusat Perkhidmatan Sehenti dan Sistem Maklumat Bersepadu Perlindungan Sosial Negara seperti Program Sinergi Sosial PERKESO perlu dibangunkan dan diperkasakan untuk menambah baik penyelarasan serta liputan setiap penduduk di Malaysia di bawah perlindungan sosial.

Ketua Eksekutif PERKESO, Datuk Seri Dr. Mohammed Azman Aziz Mohammed percaya perkhidmatan bersepadu bukan sahaja akan menjimatkan kos, tetapi juga memudahkan orang awam untuk berurusan dengan institusi-institusi terbabit.

Malah, katanya, usaha ini juga akan memudahkan kerajaan merumuskan langkah intervensi lain dengan sewajarnya, terutama sekali dalam bertindak balas apabila berlaku “kejutan” seperti pandemik Covid-19.

Bercakap dalam temubual khas sempena 50 tahun PERKESO, Mohammed Azman menegaskan asprisai beliau untuk menjadikan pertubuhan keselamatan sosial sebagai Institusi Perlindungan Sosial Kebangsaan bagi mentadbir skim-skim keselamatan sosial yang melindungi golongan pekerja daripada semua risiko kitaran hidup.

Ia termasuk kehilangan pekerjaan, hilang upaya, kematian, keilatan, kesakitan, perubatan, bersalin, dan sebagainya.

PERKESO mahu memperluaskan fungsinya untuk menyediakan keselamatan sosial untuk semua rakyat Malaysia..

“Ini membolehkan PERKESO memperluaskan fungsinya untuk menyediakan keselamatan sosial bagi semua rakyat Malaysia, iaitu “from Womb to Tomb”,” katanya.

Beliau turut menarik perhatian mengenai harapan PERKESO untuk memastikan setiap rakyat Malaysia walau apa jua pekerjaan dan latar belakangnya, diberikan perlindungan sosial yang sewajarnya.

Katanya, PERKESO beriltizam dan komited untuk bukan sahaja menambah baik perkhidmatan agensi itu tetapi juga memperluaskan perlindungan kepada pelbagai golongan masyarakat.

“Hakikatnya, tiada siapa dapat menduga apa yang akan terjadi kepada kita. Bukan hanya kematian atau kemalangan, tetapi pandemik yang melanda negara sejak hampir dua tahun lalu juga tiada siapa menjangka, apatah lagi impak yang dibawa bersamanya.

“Justeru, kepada para majikan dan pekerja yang masih belum mencarum, daftar dan carumlah dengan segera. Sesungguhnya caruman anda itu tiada nilainya berbanding perlindungan dan pampasan yang disediakan untuk anda apabila berlaku perkara luar jangka,” katanya.

Menurut Mohammed Azman, Perlindungan Keselamatan Sosial tidak boleh dilihat sebagai beban kepada majikan ataupun pekerja, tetapi ia adalah satu pelaburan serta persediaan dalam menghadapi keadaan yang tidak terjangka.

Ketua Eksekutif PERKESO, Datuk Seri Dr. Mohammed Azman Aziz beramah mesra dengan mangsa banjir di Raub, Pahang baru-baru ini.

Sementara itu, beliau juga menasihatkan anggota-anggota PERKESO supaya menjadikan sifat prihatin sebagai DNA bersama.

Katanya, penerapan nila-nilai prihatin ini adalah perlu supaya semua warga PERKESO sentiasa memikirkan apa yang boleh disumbangkan kepada para pencarum, dan bukannya mengharapkan apa yang organisasi boleh menyumbang kepada mereka.

“Harapan dan impian saya adalah untuk melihat sistem keselamatan sosial menjadi lebih interaktif, bersepadu dan responsif.

“Hari ini, bantuan hanya akan diberikan sekiranya ada permohonan.

“Dan untuk memohon, individu terbabit pastinya memerlukan pengetahuan terhadap produk dan skim bantuan yang ada – apakah skimnya, siapakah yang menawarkannya, apakah syarat kelayakannya dan pelbagai lagi. Ini semua berkemungkinan menjadi halangan untuk mereka yang layak menerima bantuan yang ada,” katanya.

Menurut beliau, Skuad Prihatin PERKESO telah membantu memudahkan segala urusan tersebut namun impiannya adalah untuk melihat proses ini dipermudahkan dengan lebih lagi.

Revolusi sebenar dalam sistem keselamatan sosial, katanya, adalah apabila bantuan diberikan tanpa perlu mengemukakan sebarang permohonan.

Sebagai contoh, apabila individu dimasukkan ke hospital setelah mengalami kemalangan dan kecederaannya direkodkan, atau apabila kematian dilaporkan di Balai Polis atau Jabatan Pendaftaran Negara, maka bantuan keselamatan sosial yang layak diterima oleh mangsa atau waris akan terus disalurkan tanpa perlu sebarang permohonan.

Namun, ini pastinya menuntut semua agensi yang terbabit untuk sama berganding bahu dan menggembeling tenaga bagi mewujudkan satu jaringan maklumat yang bersepadu agar perlindungan keselamatan sosial yang cekap dan dinamik dapat diberikan kepada semua.

M. Saravanan

Sementara itu, Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan dalam perutusan sempena 50 tahun PERKESO berkata, beliau mahu melihat PERKESO terus mengekalkan momentumnya dalam mempertingkatkan mutu perkhidmatan dan memperluaskan jaringan keselamatan sosial.

Katanya, Allahyarham Tun Abd Razak yang merupakan Perdana Menteri Malaysia kedua  dalam ucapannya ketika melancarkan Social Security Scheme pada 1 Jun 1972 telah menzahirkan impiannya untuk melihat setiap rakyat Malaysia walau apa jua latar belakangnya dan pada setiap peringkat kehidupannya, dari rahim sehingga ke liang lahad, diberikan perlindungan keselamatan sosial.

“Saya juga memasang impian yang sama, katanya.

Katanya, pandemik Covid-19 yang melanda negara hampir dua tahun telah membuka mata rakyat tentang pentingnya tanggungjawab yang digalas oleh PERKESO.

“Dalam membantu rakyat mendepani ujian pandemik ini, kerajaan telah merangka beberapa pakej rangsangan ekonomi dan PERKESO adalah antara beberapa agensi utama yang diberikan mandat besar untuk melaksanakannya,” katanya yang turut melahirkan rasa bangga kerana PERKESO berjaya melaksanakan tanggungjawab dalam membantu rakyat yang terkesan. – MalaysiaGazette