Home Nasional PTPTN lancar Bulan Menabung Simpan SSPN 2021 sempena Hari Tabungan Sedunia

PTPTN lancar Bulan Menabung Simpan SSPN 2021 sempena Hari Tabungan Sedunia

Pengerusi PTPTN, Datuk Wan Saiful Wan Jan

KUALA LUMPUR – Sempena Hari Tabungan Sedunia pada hujung bulan ini, Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) kembali dengan anjuran Bulan Menabung Simpan SSPN 2021 yang menggalakkan aktiviti penabungan dan perancangan kewangan dari awal lagi.

Untuk makluman, Bulan Menabung Simpan SSPN atau lebih dikenali sebagai BMS sebenarnya program ‘signature’ yang sememangnya ditunggu-tunggu orang ramai.

Bertemakan ‘Galaksi’ dengan mengekalkan tagline ‘Jom Jadi Superhero anak anda’ mengajak ibu bapa agar menjadi hero untuk anak-anak dalam konteks perancangan kewangan melalui penabungan agar anak-anak berjaya melanjutkan pengajian tanpa masalah kewangan.

Menurut Pengerusi PTPTN, Datuk Wan Saiful Wan Jan, BMS 2021 ini akan diadakan sepanjang bulan Oktober iaitu bermula 1 hingga 31 Oktober 2021 dengan pelaksanaan secara maya serta mematuhi SOP norma baharu.

Kata beliau penuh teruja, BMS 2021 juga membawa kelainan dari tahun sebelum ini dengan adanya pelbagai program dan pertandingan baharu yang menarik untuk disertai oleh ibu bapa dan anak-anak.

“Program yang diadakan secara langsung melalui media sosial rasmi PTPTN akan menampilkan artis istimewa, panel jemputan dan influencer yang dibawakan khas untuk memeriahkan lagi BMS 2021.

“Pelbagai program disediakan untuk disertai oleh ibu bapa dan anak-anak antaranya Bonding Chef Junior, Sembang Santai BMS 2021, Forum Cakna Kewangan, Siri P&T, Detik Indah Bersama Si Manja dan My Parents, My Real Superheroes.

“Manakala program berbentuk pertandingan pula ialah Fotografi Simpan SSPN, Chef Junior Simpan SSPN, Simpan SSPN Got Talent, Colouring Contest Simpan SSPN, Snap & Win Simpan SSPN, Happy Hour, Quizizz dan Cabaran #SuperheroSiManja. Pejabat PTPTN Negeri juga turut memeriahkan program ini dengan menganjurkan aktiviti-aktiviti di peringkat negeri,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa melancarkan BMS 2021 secara maya yang turut dihadiri Ketua Eksekutif PTPTN, Ahmad Dasuki Abdul Majid.

Kata Wan Saiful lagi, pihaknya juga telah merencanakan program khas PTPTN Prihatin iaitu Jelajah Simpan SSPN 2021 yang juga merupakan program tanggungjawab sosial korporat melalui sumbangan zakat PTPTN berjumlah lebih RM500,000 dengan kerjasama pusat Zakat Negeri dan agensi kerajaan.

Dedah beliau seramai lebih 5,000 penerima daripada golongan asnaf akan menerima sumbangan tunai berbentuk akaun Simpan SSPN Prime bagi memastikan golongan asnaf turut sama menikmati manfaat penabungan melalui Simpan SSPN ini.

“PTPTN turut memperkenalkan Tabung Impian dengan tujuh (7) karakter seperti Angkasawan, Bomba, Jurutera, Doktor, Tentera, Hakim dan Juruterbang sebagai salah satu daya tarikan kepada masyarakat terutama bakal pendeposit baharu untuk memulakan penabungan.

“Bersesuaian dengan tema BMS 2021, Tabung Impian bagi karakter Angkasawan akan bermula Oktober ini dan selebihnya akan dipromosikan pada setiap bulan dengan jumlah simpanan yang ditetapkan,” ujarnya.

Dalam pada itu, kata Wan Saiful lagi, BMS 2021 juga merupakan program yang telah dirangka dan telah aktif dilaksanakan sejak 2018 bagi mempromosi usaha Simpan SSPN bagi aktiviti penabungan dalam kalangan masyarakat.

Malah katanya, program seumpama ini dilihat mampu menyampaikan maklumat dan memberi pendedahan mengenai perancangan kewangan serta memupuk amalan menabung di kalangan ibu bapa dan anak-anak.

“Hari Tabungan Sedunia atau dikenali juga sebagai World Savings Day membawa objektif utama iaitu menyemai semangat penabungan masyarakat di seluruh dunia. Walaupun dunia dan negara kini masih lagi dilanda pandemic, ia bukan suatu alasan untuk kita tidak menyemai semangat menabung.

“Sebaliknya, adalah lebih wajar untuk kita menggunakan perkhidmatan dan kemudahan melalui platform digital selaras dengan pelbagai inisiatif pendigitalan yang semakin mendapat perhatian semasa pandemik ini untuk merangka pelbagai inisiatif penabungan.

“PTPTN telah menyediakan kemudahan transaksi secara dalam talian termasuk pembukaan akaun Simpan SSPN dan penambahan deposit tanpa perlu hadir ke kaunter.

“Usaha ini juga bagi menggalakkan penabungan dalam kalangan masyarakat Malaysia. Pembukaan atau penambahan simpanan secara dalam talian adalah lebih cepat, mudah dan selamat dengan melayari www.lovesspn.com,” katanya.

Wan Saiful juga mendedahkan hasrat PTPTN yang menyasarkan jumlah simpanan sebanyak RM1.8 billion dengan 400,000 akaun baharu.

“Rekod sehingga Ogos 2021 telah menyaksikan pancapaian sebanyak 253,818 akaun baharu dengan jumlah deposit sebanyak RM1.57 bilion. Semenjak 2004 sehingga 31 Ogos 2021, sebanyak 5.1 juta akaun Simpan SSPN telah dibuka dengan deposit berjumlah RM9.45 bilion,” jelasnya.

Untuk makluman, Simpan SSPN terdiri daripada Simpan SSPN Prime dan Simpan SSPN Plus menawarkan pelbagai keistimewaan kepada masyarakat Malaysia.

Simpan SSPN Prime merupakan simpanan tanpa komitmen bulanan yang memberikan keistimewaan seperti pelepasan taksiran cukai sehingga RM8,000.00, perlindungan takaful secara percuma, dividen yang kompetitif, Geran Sepadan sehingga RM10,000.00 dan simpanan dijamin oleh Kerajaan.

Manakala Simpan SSPN Plus pula menawarkan enam pakej yang menarik dan mampu dimiliki dengan pelbagai keistimewaan dan manfaat yang lebih menarik akan dinikmati oleh pendeposit antaranya perlindungan manfaat takaful sehingga RM1.2 juta dan perlindungan sehingga umur pendeposit 69 tahun selain menawarkan pelbagai manfaat sedia ada.

Selain itu, terdapat Cabutan WOW! Simpan SSPN Plus 2021 yang menawarkan hadiah utama Gold Bar bernilai RM150,000 dan hadiah lain bernilai hampir RM320,000. – MalaysiaGazette