KUALA LUMPUR – Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri NajibĀ Razak mengakui tidak sampai hati menolak permintaan rakyat yang memintanya membantu penduduk yang terjejas akibat tanah runtuh di Kemensah Height dekat sini.
Prihatin dengan nasib 24 keluarga terjejas, beliau hari ini menghulurkan bantuan kewangan kepada setiap keluarga selama tiga bulan bagi meringankan beban mereka yang terpaksa menyewa rumah lain sementara menunggu kawasan perumahan itu dibaik pulih.
“Saya bersama-sama dengan Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor, Datuk Megat Zulkarnain Omardin telah berusaha untuk mencari dana.
“Saya tak dapat menolak permohonan khususnya datang daripada rakyat yang sedang menghadapi kesusahan.
“Jadi, saya ambil keputusan turun hari ini supaya saya dapat melihat dengan mata kepala saya sendiri keadaan di sini,” katanya di Taman Kemensah Height Indah di Hulu Kelang hari ini.
Pada 17 September lalu, tiga unit rumah banglo dan 12 rumah jenis town house membabitkan 27 keluarga terjejas akibat insiden tanah runtuh di Jalan Kemensah Heights namun tidak membabitkan sebarang kemalangan jiwa.
Terdahulu ahli Parlimen Pekan itu menyerahkan bakul makanan dan sumbangan kewangan untuk pembayaran tiga bulan sewa rumah berjumlah RM1,500 kepada 24 keluarga terbabit.
Dalam pada itu, beliau berkata, sumbangan yang disalurkan itu setelah beliau dimaklumkan tentang bebanan penduduk yang terpaksa menanggung kos penyewaan rumah lain selepas mereka diarahkan mengosongkan rumah.
“Apabila menyewa, kita terpaksa menanggung dua bebanan, satu bayaran ansuran rumah dan tempat baharu yang kita nak menyewa buat sementara waktu.
“Datuk Megat mencadangkan supaya kita usahakan (bantuan) daripada pelbagai punca, Datuk Megat berusaha, saya turut berusaha.
“Jadi kita adalah sedikit dana dan ia dapat menampung keperluan tuan puan untuk menyewa selama tiga bulan,” katanya.
Katanya lagi, sumbangan itu bukan perkara baharu bahkan ia konsisten dilakukan sejak beliau menjadi Perdana Menteri keenam sebelum ini.
“Waktu saya jadi Perdana Menteri pun, saya menekankan rakyat mesti didahulukan dan pencapaian mesti diutamakan. Kita tak mahulah macam ada pihak-pihak yang lain, tak payah saya sebut nama, banyak janji tapi janji tinggal janji sahaja.
“Kita mesti menunjukkan bahawa kita bukan sahaja prihatin kepada permasalahan rakyat tapi kita sanggup turun melihat, meninjau dan bantu setakat mana kita mampu,” katanya lagi. – MalaysiaGazette