KUANTAN – Idea kakitangan Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) Pahang menggunakan dua ‘dinosaur’ bagi menarik perhatian orang ramai sememangnya unik.
Replika ‘dinosaur’ yang diletakkan di pintu masuk Pusat Belian Semula Barangan Kitar Semula di Taman Gelora di sini mempunya mesej tersendiri kepada pengguna, kata Pengarah (SWCorp) Pahang, Sharudin Hamid.
Menurutnya, kedua-dua replika ‘dinosaur’ itu menggunakan 120 biji tanyar kereta, basikal, lori dan treler terpakai yang dikitar semula.
“Replika seberat dua tan ini ditempah khas dari Negeri Sembilan dan dibina menggunakan tayar terpakai.
“Struktur ‘dinosaur’ ini kombinasi dari tayar basikal, motosikal, kereta termasuk semula dan dicat semula bermawarna merah dan hitam,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette baru-baru ini.
Tambah Saharudin, bagi perancangan akan datang, ‘dinosaur’ berkenaan akan dijadikan tarikan pelancong di sekitar Kuantan dan akan dialihkan menggunakan treler selepas mengenalpasti lokasi yang sesuai.
“Tangan ‘dinosaur’ ini akan memegang papan tanda mengajak masyarakat bersama menjaga kebersihan dan persekitaran Bandaraya Kuantan selain tarikan kepada pengunjung untuk bergambar.
“Nama masih belum ada untuk sepasang ‘dinosaur’ ini, maka pihak SWCorp sedang merancang untuk mengadakan pertandingan nama dinasor untuk warga Kuantan,” katanya. – MalaysiaGazette