KUALA LUMPUR – Kebanyakan rakyat di negara ini sudah tidak sabar lagi untuk menunggu pengumuman kerajaan mengenai kebenaran merentas negeri susulan kadar vaksinasi bagi populasi dewasa semakin menghampiri angka 90 peratus.
Tinjauan MalaysiaGazette mendapati, majoriti orang ramai mahu merentas negeri kerana ingin pulang ke kampung halaman dan meluangkan masa bersama kedua ibu bapa selepas sekian lama ‘terkurung’.
Seorang pekerja swasta, Faizal Bahaman, 40, mengakui beliau merupakan antara individu yang tertunggu-tunggu pengumuman kerajaan mengenai penarikan semula larangan untuk merentas negeri.
“Kita pun tunggu kadar vaksinasi ini untuk mencecah 90 peratus sebelum boleh untuk merentas negeri, tapi perlu diingat walaupun hanya tinggal beberapa peratus sahaja namun ia bukan boleh selesai dalam masa dua tiga hari, sudah tentu lama lagi.
“Sekiranya kerajaan dah benarkan untuk merentas negeri, kita sebagi rakyat perlu ambil tanggungjawab untuk terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP).
“Memang saya berharap untuk jenguk orang tua di kampung tetapi kalau boleh jangan lah atas dasar suka-suka kerana kalau tiada sebab untuk merentas negeri kelak maka duduk sahaja di rumah,” katanya ketika ditemui hari ini.
Turut senada, pekerja swasta, Siti Afiqah Abu Bakar, 31, berharap kerajaan dapat mengotakan janji seperti yang dimaklumkan sebelum ini bagi membolehkan rakyat merentas negeri apabila kadar vaksinasi dewasa sudah mencapai peratusan dikehendaki.
“Saya memang harap sangat boleh balik kampung dalam masa terdekat ini kerana kasihan kan suami yang sudah terlalu lama tidak dapat bertemu dengan ibunya yang berada di Bukit Gambir, Johor.
“Harap pihak berwajib dapat lah dengar rintihan rakyat dan saya rasa bukan saya seorang sahaja mengharapkan perkara ini, ramai lagi di luar sana mahu rentas negeri untuk bertemu orang tua mereka,” tuturnya dalam nada sebak.
Manakala bagi seorang pelajar, Muhammad Harris Erwan Shah Effendi, 20, dia hanya memikirkan soal pelajarannya yang sudah sekian lama tertangguh berikutan penularan pandemik Covid-19.
Pelajar jurusan automotif dari Kolej Komuniti Bukit Beruang, Melaka itu turut mengakui bahawa bukan mudah bagi mereka yang bergelar seorang pelajar untuk menghabiskan pelajaran sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan dan Pelan Pemulihan Negara.
“Dalam kepala saya hanya fikir untuk cepat habis belajar dan mencari kerja kerana sudah sekian lama tertangguh.
“Jadi saya sendiri memang berharap supaya kerajaan dapat membenarkan rakyat untuk merentas negeri sekiranya kadar vaksinasi sudah sampai ke tahap yang diperlukan,” katanya.
Dalam pada itu, peniaga, Ahmad Kamal, 60, berpendapat kebenaran untuk merentas negeri sekiranya kadar vaksinasi sudah mencapai angka 90 peratus sebagai satu langkah wajar yang perlu ditunaikan oleh kerajaan.
“Pandangan saya kalau peratusan rakyat di negara ini sudah divaksinasi maka tiada masalah untuk beri mereka kebenaran pulang ke kampung dan sebagainya.
“Tapi apa yang terbaik untuk semua supaya kita terus bersabar dan menunggu kesemua mereka sudah lengkap vaksinasi baru lah pulang menjenguk orang tua atau ke mana sahaja yang kita mahu.
“Kita semua sedia maklum bahawa virus ini tidak boleh dilihat dengan mata kasar jadi kita tak tahu siapa pembawa atau penyebar jangkitan, sebab itu kita kena ingat tak semestinya sudah lengkap vaksin kita sudah ‘perfect’, risiko ada di mana-mana,” katanya.
Pada 22 September lalu, media melaporkan rakyat dibenar untuk merentas negeri apabila negara mencapai 90 peratus kadar vaksinasi dewasa berdasarkan data dan analisis yang dibuat Kementerian Kesihatan (KKM).
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, perkara itu diputuskan Mesyuarat Jawatankuasa Khas Pengurusan Pandemik yang dipengerusikan olehnya selain memaklumkan kerajaan turut membenarkan pembukaan pusat pelancongan, pulau atau kawasan pelancongan apabila mencapai kadar vaksinasi berkenaan.
Terbaharu, seramai 20,317,843 atau 86.8 peratus populasi dewasa di negara ini sudah lengkap divaksinasi sehingga jam 11.59 malam semalam.
Susulan itu, pelaksanaan kelonggaran rentas negeri pada Oktober semakin hampir apabila negara hanya memerlukan 3.2 peratus saja lagi untuk mencecah angka 90 peratus populasi dewasa lengkap divaksinasi. – MalaysiaGazette