Home Utama Pengumuman kebenaran rentas negeri makin hampir – Ismail Sabri

Pengumuman kebenaran rentas negeri makin hampir – Ismail Sabri

Ismail Sabri Yaakob

KUALA LUMPUR –  Kebenaran rentas negeri sudah semakin hampir dan ia akan terus diumumkan sebaik negara mencapai 90 peratus vaksinasi, kata perdana menteri.

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kerajaan amat memahami ramai individu mahu pulang ke kampung malah, beliau sendiri pernah melalui situasi sama sebelum ini.

Katanya, kerajaan menetapkan tahap 90 peratus bagi vaksinasi sebelum memberi kebenaran rentas negeri bagi memastikan semua negeri berpeluang diberi kelonggaran sama.

“Dulu ada janji 80 peratus boleh rentas negeri, kenapa tiba-tiba jadi 90 peratus? Kita lihat apabila 80 peratus, kita lihat banyak negeri yang peratusannya masih kecil.

“Kalau kita buka seluruh Malaysia kita tidak mahu tinggalkan negeri yang masih kecil peratusan vaksin.

“Jadi, sebab itu kita tunggu 90 peratus, kerana kita percaya apabila 90 peratus, setiap negeri  sudah capai (kadar vaksinasi) 80 peratus lebih.

“Saya percaya ramai nak balik kampung. Sesetengah itu sudah setahun lebih tidak tengok ibu bapa mereka. Sesetengah ibu bapa tak sihat,” katanya dalam wawancara khas yang disiarkan secara langsung sebentar tadi.

Rakyat Malaysia juga, ujar beliau akan dibenarkan ke luar negara tanpa perlu memohon MyTravelPass selepas program vaksinasi negara melalui Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) mencapai kadar 90 peratus.

Kelonggaran itu dijangka diberikan kepada rakyat Malaysia tidak lama lagi, katanya.

“Apabila 90 peratus program vaksinasi tercapai untuk penduduk dewasa lengkap vaksin, kita akan membenarkan rakyat kita ke luar negara tanpa memohon MyTravelPass.

“Maknanya MyTravelPass tidak akan digunakan apabila program vaksinasi mencapai 90 peratus secara keseluruhan. Mungkin tidak lama lagi,” katanya. – MalaysiaGazette