Home Nasional Syafiqah bakal mewakili negara dalam Muay Thai

Syafiqah bakal mewakili negara dalam Muay Thai

Syafiqah (depan) berazam membawa pulang pingat untuk negara dalam kejuaraan yang bakal disertainya Disember ini.

JOHOR BAHRU – Tiada siapa yang menyangka, gadis bersosok kecil, Nurul Syafiqah Amirah Rosli, 18, bakal menyertai Kejohonan Muay Thai Remaja Dunia di Phuket pada Disember depan.

Berdepan cabaran itu, dia bakal menemui 60 peserta lain dari seluruh negara.

Perkara itu bukan mudah, namun anak jati Johor ini berazam untuk membawa pulang pingat dalam kejuaraan tersebut.

“Ini kali pertama saya menyertai kejohanan diperingkat antarabangsa dan bakal bersaing dalam kategori 51  hingga 54 kilogram (kg).
“Sudah tentu saya teruja dan yang pasti doakan saya meraih sebarang pingat.
“Buat masa sekarang saya menjalani latihan di sebuah pusat mempertahankan diri di Taman Mount Austin,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette, di sini.

Berkongsi pengalaman, anak bongsu ini memberitahu, dia mula didedahkan dengan sukan Muay Thai oleh abangnya Md Shfid Rosli, 30, yang juga merupakan jurulatih sukan itu.

Katanya, semangat dan dorongan abangnya itu menjadikan beliau berjaya sehingga hari ini.

Walaupun sukan berkenaan dimonopoli kaum lelaki, kata Syafiqah, dia tidak pernah berasa janggal.

Malah mengambil itu sebagai satu cabaran dan pengalaman buat dirinya tambah beliau: “Saya mula berminat dengan Muay Thai selepas mengikut abang saya pergi latihan pada ketika itu. Daripada situ sedikit demi sedikit saya mula berjinak-jinak.

“Selepas menjalani latihan secara konsisten, abanga membawa saya menyertai pertandingan Muay Thai remaja peringkat kebangsaan di Kuala Lumpur pada tahun 2019. Semua bermula disitu,”katanya.

Bertitik tolak daripada penyertaanya dalam pertandingan itu, dia seterusnya mengorak langkah lebih berani untuk beraksi di kejohanan Muay Thai yang lebih besar.

Hasilnya, dia kini sudah menyertai 15 kejohonan Muay Thai di peringkat kebangsaan selain turut terpilih menyertai Sukan Malaysia (Sukma) 2020 Johor.

“Pertama kali saya beraksi di atas gelanggang memang saya akui rasa takut, tetapi selepas saya dibimbing jurulatih, orang-orang sekeling saya yang lain, perasaan berani dan yakin mula timbul dalam diri saya.

“Muay Thai merupakan sukan lasak, kadang-kala saya berdepan dengan lawan yang agresif serta jauh lebih berpengalaman,” katanya.

Sementara itu, Md Shfid berkata, walaupun pada awalnya penglibatan adik perempuannya itu tidak mendapat sokongan terutama ibu mereka.

Namun kejayaan demi kejayaan yang diperolehi menjadikan ibu mereka berasa bangga dan mula menerima minatnya itu, ujarnya.