KUALA LUMPUR – Sesi persekolahan secara bersemuka di 10 negeri melibatkan kira-kira 94,000 pelajar bermula hari ini, mengikut ketetapan fasa Pelan Pemulihan Negara (PPN) di negeri masing-masing.
Ia melibatkan pelajar di Pulau Pinang, Perak dan Sabah yang berada dalam Fasa Dua; Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya, Selangor, Melaka, Perlis, Pahang dan Sarawak (Fasa Tiga); Negeri Sembilan dan Wilayah Persekutuan Labuan (Fasa Empat).
Pembukaan sekolah hari ini membabitkan pelajar Tingkatan Enam Semester Dua, kelas peperiksaan antarabangsa, murid berkeperluan khas (MBK) dan Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) yang hadir tanpa penggiliran mengikut ketetapan Fasa Dua.
Semalam, sesi persekolahan secara bersemuka bermula di Terengganu, Kelantan dan Langkawi selepas kira-kira enam bulan sekolah di seluruh negara ditutup berikutan penularan COVID-19.
Johor dan Kedah hanya akan memulakan sesi persekolahan bersemuka secara berperingkat bermula 10 Okt.
— BERNAMA