Home Nasional Ada bukti mencukupi untuk dakwa Ahmad Zahid – Timbalan Pendakwa Raya

Ada bukti mencukupi untuk dakwa Ahmad Zahid – Timbalan Pendakwa Raya

passport medical treatment Germany
Ahmad Zahid Hamidi

KUALA LUMPUR – Terdapat bukti yang menunjukkan bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menerima rasuah sebanyak RM8 juta.

Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO didakwa telah menerimanya daripada Data Sonic Group Berhad dan Profound Radiance Sdn Bhd dan Data Sonic Group Berhad.

Timbalan Pendakwa Raya, Gang Peng Kuan pada hujak akhirnya berkata, syarikat-syarikat itu telah mendapatkan kontrak dari Kementerian Dalam Negeri yang mana ketika itu Menterinya adalah Ahmad Zahid.

Jelas Peng Kuan, syarikat-syarikat itu mendapatkan kontrak membekalkan cip pasport dan juga menjalankan perkhidmatan permohonan visa asing bagi warga Nepal dan Pakistan.

“Syarikat Data Sonic Group Berhad dan Profound Radiace dapat kontrak bekal cip pasport, syarikat Profound juga dapat dua kontrak buat Pusat Sehenti (OSC) bagi permohonan visa asing.

“Sebenarnya perlu tahu juga selain semua ini di bawah bidang kuasa Kementerian Dalam Negeri, Menterinya yang juga tertuduh mempunyai kata putus,” katanya di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah.

Pada 20 Febuari 2019, Ahmad Zahid mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur terhadap 47 pertuduhan membabitkan 12 pertuduhan pecah amanah, lapan tuduhan rasuah dan 27 pertuduhan pengubahan wang haram berjumlah jutaan ringgit milik Yayasan Akalbudi.

Bagi pertuduhan pecah amanan, Ahmad Zahid, 68 tahun, didakwa menggunakan dana berkenaan untuk membuat enam pembayaran kad kredit milik persendirian, polisi insurans kenderaan dan lesen motor persendirian, kiriman wang kepada sebuah firma guaman dan sumbangan kepada persatuan bola sepak Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Beliau dituduh melakukan perbuatan itu di Affin Bank Berhad, cawangan Jalan Bunus, Off Jalan Masjid India di Kuala Lumpur, antara 13 Januari 2014 dan 23 Disember 2016.

Pertuduhan mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan membawa hukuman penjara antara dua dan 20 tahun serta dengan sebatan dan juga dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Bagi lapan tuduhan rasuah, Ahli Parlimen Bagan Datuk itu didakwa menerima suapan daripada tiga syarikat iaitu Mastoro Kenny IT Consultant & Services, Data Sonic Group Berhad dan Profound Radiance Sdn Bhd sebagai dorongan untuk dirinya seorang Pegawai Badan Awam iaitu Menteri Dalam Negeri di Kementerian Dalam Negeri (KDN) bagi membantu syarikat-syarikat berkenaan mendapatkan projek MyEG.

Ia bagi melaksanakan penambahan pembekalan cip pasport selama lima tahun atau 12.5 juta cip yang akan dimasukkan ke dalam halaman biodata polycarbonate Pasport Malaysia untuk Jabatan Imigresen Malaysia, sebagai pengendali perkhidmatan pusat sehenti di Pakistan dan Nepal di bawah kendalian KDN.

Beliau dituduh melakukan perbuatan itu di cawangan Maybank Dataran Maybank di Jalan Maarof, Bangsar, antara 15 Julai 2016, dan 15 Mac 2018, mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama.

Jika sabit kesalahan, boleh dikenakan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan, atau RM10,000, yang mana lebih tinggi.

Sementara, 27 pertuduhan pengubahan wang haram dengan melibatkan diri dalam transaksi secara langsung membabitkan pendapatan daripada aktiviti haram antara 29 Mac 2016 dan 11 April 2018.

Beliau didakwa mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 yang boleh dihukum menurut Seksyen 4(1) akta sama iaitu boleh dipenjarakan sehingga 15 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai hasil aktiviti haram atau RM5 juta, mana lebih tinggi jika sabit kesalahan.

Prosiding bersambung esok. – MalaysiaGazette