Friday, September 27, 2024
Home Seni Hidup Anak Shahrol Shiro selamat jalani pembedahan buah pinggang

Anak Shahrol Shiro selamat jalani pembedahan buah pinggang

Foto Instagram Anna_danisha

KUALA LUMPUR – Anak bongsu pelawak terkenal, Shahrol Shiro, Ismail Rifqi yang berusia 10 bulan selamat menjalani pembedahan akibat masalah buah pinggang kronik di sebuah pusat perubatan swasta.

Berita itu dikongsi isterinya, Nor Farhanah Shamimi atau Anna menerusi hantaran terbaharunya di Instagram miliknya.

Menerusi hantaran itu, Anna meluahkan rasa syukur kerana pembedahan yang mengambil masa selama lima jam itu berjalan lancar dan tiada apa-apa komplikasi serta tak perlu berada di wad Uni Rawatan Rapi (ICU).

“Alhamdulillah, Alhamdulillah, Alhamdulillah.”Terima kasih Ya ALLAH kerana telah mendengar doa hamba-hamba mu. Alhamdulillah pembedahan Ismail berjalan dengan lancar dan Ismail akan terus ke wad.

“Terima kasih pada semua yang telah mendoakan urusan Ismail. Terima kasih pada yang tidak henti-henti memberikan kata-kata semangat.

“Hanya Allah sahaja yang mampu membalas jasa kalian,” tulisnya.

Sementara di InstaStory pula, Anna memberitahu Ismail dah mula memberi senyuman dan makan.

“Terima kasih semua yang mendoakan kesihatan Ismail. Tengok tu dah boleh makan kemudian dah senyum,” tulisnya.

Sebelum ini, Anna pernah berkongsi yang Ismail dilahirkan dengan satu buah pinggang.

Bagaimanapun buah pinggang kirinya itu mengalami masalah dan membengkak 80 peratus akibat saluran tersumbat.

Ismail perlu menjalani pembedahan secepat mungkin bagi mengelakkan keadaan menjadi lebih kritikal.

Sementara itu, Shahrol dan Anna berkahwin pada 8 Mac 2016 dan dikurniakan dua anak lelaki.

Selain Ismail, anak sulung mereka, Iskandar Rizqi kini berusia empat tahun. – MalaysiaGazette