Home Politik Cadangan bubar DUN Melaka terpakai jika TYT terima notis sebelum sokongan ditarik...

Cadangan bubar DUN Melaka terpakai jika TYT terima notis sebelum sokongan ditarik – Tok Mat

Mohamad Hasan

KUALA LUMPUR – Keputusan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka bergantung kepada masa notis yang diberikan Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Ali kepada Yang Dipertua Negeri (TYT) Melaka, Tun Mohd Ali Mohd Rustam.

Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, cadangan pembubaran DUN masih boleh dipertimbangkan sekiranya ia dikemukakan sebelum empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) mengumumkan untuk menarik balik sokongan kepada Sulaiman.

Menurutnya, perkara itu selaras dengan undang-undang tubuh negeri yang perlu diutamakan oleh TYT.

“Sama ada dibubarkan DUN atau tidak terpulang kepada TYT tetapi TYT mesti mengikut perlembagaan tubuh kerajaan. Sama ada Ketua Menteri memberi notis membubarkan DUN semasa mempunyai majoriti atau selepas sidang media.

“Saya masih nak menunggu, kalau Ketua Menteri Melaka mencadangkan pembubaran DUN dibuat sebelum sidang media insyaAllah masih valid (terpakai), ini penting kerana selepas sidang media diadakan Ketua Menteri sudah tidak ada lagi majoriti.

“Tapi kalau dah dihantar kepada TYT sebelum sidang media TYT boleh pertimbangkan, kalau sudah buat selepas sidang media tadi TYT tidak boleh terima nasihat sebab datang dari seseorang yang tiada majoriti undang-undang kena ikut juga,” katanya,

Beliau berkata demikian pada program Bual Bicara Terus Terang yang disiarkan menerusi Facebook Umno Online malam ini.

Bagaimanapun, berdasarkan maklumat yang diterima menyatakan notis cadangan pembubaran DUN diberikan sebelum sidang media yang berlangsung pada petang tadi.

Empat ADUN Melaka petang tadi mengumumkan hilang kepercayaan terhadap Sulaiman Ali.

Pengumuman itu dibuat pada sidang media yang diketuai ADUN Sungai Udang, Datuk Seri Idris Haron.

Turut hadir pada sidang media itu Datuk Nor Azman Hassan (BN-Pantai Kundor), Datuk Norhizam Hassan Baktee (bebas – Pengkalan Batu) dan Datuk Noor Effandi Ahmad (Bersatu-Telok Mas). – MalaysiaGazette