Home SISWA Edu-Forest UPSI tarikan baharu Tanjung Malim

Edu-Forest UPSI tarikan baharu Tanjung Malim

Dr Norkhalid Salimin sedang memberikan taklimat tentang Stesen Edu- Forest UPSI.

KUALA LUMPUR – Edu-Forest Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) bakal menjadi tarikan baharu di Tanjung Malim sebagai lokasi menarik melakukan aktiviti pendidikan, kajian dan rekreasi berasaskan keindahan alam semula jadi.

Lokasi strategik Edu-Forest UPSI di sisi Banjaran Titiwangsa yang terbentang beberapa puncak gunung antaranya Gunung Liang, Gunung Sanggul, Gunung Kerjul, Gunung Tumang Batak, dan Chondong Geliting menjadi potensi peminat dan pencinta alam.

Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti UPSI, Puan Sri Rohani Parkash Abdullah berucap selepas merasmikan Edu-Forest UPSI berkata beliau bangga atas idea dan usaha murni berkenaan malah berkeyakinan inisiatif itu akan menjadi pencetus dan jalan rintis dalam mempergiatkan lagi UPSI sebagai Universiti Nombor Satu Pendidikan di negara ini.

“Usaha UPSI selaras dengan hasrat kerajaan melestarikan hutan simpan untuk manfaat secara bersama khusus buat komuniti atas prinsip Keluarga Malaysia,” katanya.

Beliau berkeyakinan pemilihan kawasan berkenaan sangat strategik berikutan lokasi Hutan Simpan Behrang itu sendiri terletak berhampiran dengan Kampus Utama UPSI serta kaya dengan sumber dan khazahan alam yang belum terusik dan
tercemar.

Sementara itu, Naib Canselor UPSI Prof. Datuk Dr. Md. Amin Md.Taff, , stesen UPSI Edu-Forest yang berkeluasan tanah sebanyak 25 ekar itu mendapat kebenaran tempoh lesen penggunaan selama 30 tahun bermula 14 Mei 2019 daripada Jabatan Hutan Negeri Perak.

“Saya berharap ia menjadi tarikan baru kepada warga UPSI, komuniti sekitar Muallim, penggiat rekreasi, penyelidik dan rakyat Malaysia serta antarabangsa untuk datang ke Tanjung Malim.

UPSI Edu-Forest, katanya, akan menjadi destinasi eko-elacongan yang berkonsepkan pendidikan unik seperti aktiviti pendidikan rekreasi luar dengan mengekalkan status Hutan Simpan Kekal sebagai langkah pemuliharaan dan perlindungan hidupan liar sedia ada di Hutan Simpan Behrang.

Di sekitar Edu-Forest UPSI, terdapat banyak air terjun seperti Lubuk Kawah, Lubuk Hantu, Air Terjun Strata, Lubuk Graha, Lata Berembun, Lata Rimau dan Lata Manik.

Pelbagai aktiviti boleh dilaksanakan seperti cabaran kayak arus deras, rakit arus deras dan juga ‘water tubing’.

Pengemar aktiviti lasak juga berpeluang untuk menyertai cabaran darat seperti basikal lasak, cabaran 4 x 4 serta marathon yang kerap dianjurkan oleh Universiti Pendidikan Sultan Idris dan juga Majlis Daerah Tanjong Malim.

Pengarah, Pusat Transformasi Komuniti Universiti (UCTC), Prof Madya Dr Norkhalid Salimin yang menggerakkan usaha itu berkata penubuhan stesen berkenaan menjadikan UPSI sebagai universiti pendidikan pertama yang memiliki Makmal Hidup (Living Lab) untuk pelajar dari pelbagai pengkhususan seperti Biologi, Kimia Sebatian Semulajadi, Geografi, Sains Sukan, Sains Tanah, Muzik, Seni, Rekreasi, Psikologi dan lain-lain bidang disiplin ilmu di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

Ia juga selaras dengan Dasar Kepelbagaian Biologi Kebangsaan yang telah diluluskan oleh Parlimen pada tahun 1998, malah tahun 1992, Malaysia menandatangani Konvensyen Kepelbagian Biologi bersama-sama 154 buah negara lain di Rio “Earth Summit.

+ posts