KUALA LUMPUR – Aktivis dan Pereka Grafik, Fahmi Reza telah ditahan polis pada hari ini membantu siasatan mengenai kes kes poster satira #KeluargaMalaysia dengan lukisan karikatur Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang tular di laman media sosial.
Ketua Polis daerah Wangsa Maju, Superintendan Ashari Abu Samah berkata, lelaki itu ditahan ketika hadir ke Ibu Pejabat Polis Saerah Wangsa Maju.
“Saya sahkan bahawa pada hari ini jam lebih kurang 4 petang pihak polis telah memanggil Fahmi Redza untuk dirakam percakapan beliau berkaitan isu lukisan karikatur beliau yang viral baru-baru ini.
“Beliau yang datang bersama peguam kemudian telah ditahan untuk membantu siasatan lanjut,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.
Namun begitu katanya, aktivis itu telah dibebaskan dengan jaminan polis setelah selesai dirakam keterangan daripadanya.
“Kita menyiasat kes di bawah Seksyen 504 Kanun Keseksaan, Seksyen 233 SKMM dan Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955.
“Telefon bimbit telah dirampas bagi membantu siasatan dan kita akan melengkapkan kertas siasatan untuk diangkat kepada Timbalan Pendakwaraya untuk arahan lanjut,” ujarnya.
Dalam pada itu, aktivis berkenaan memuat naik status terbaharunya dalam ruang akaun Facebooknya yang memaklumkan bahawa dia telah dibebaskan selepas ditahan sejak pukul 4 petang tadi.
Katanya, polis telah merampas telefon bimbit milknya selain cap jari dan gambarnya diambil seperti seorang penjenayah.
“Mereka nak ambil sample DNA aku, tapi aku tak nak bagi. Selalunya lepas kena tahan polis, aku memang dah ready untuk duduk lokap sekurang-kurangnya 24 jam.
“Tapi kemudian polis buat keputusan untuk bebaskan aku dengan jaminan polis, sukacita dimaklumkan aku tak perlu tidur lokap malam ni!,” katanya. – MalaysiaGazette