Home Nasional Maqis rampas gandum Australia bernilai lebih RM20 juta

Maqis rampas gandum Australia bernilai lebih RM20 juta

Dua jenis gandum dari Australia ditahan susulan mengemukakan permit mengelirukan.

BUTTERWORTH – Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) Pulau Pinang menggagalkan cubaan membawa masuk dua jenis gandum dari Australia melalui Pelabuhan Dermaga Air Dalam, di sini, pada Sabtu lalu.

Maqis dalam satu kenyataan berkata, pemeriksaan yang dijalankan oleh Pegawai Penguatkuasa Maqis di Pelabuhan Kargo Pukal itu membawa kepada penemuan 14,118,340 kilogram (kg) gandum yang dianggarkan bernilai RM20,484,211.

Pihak Maqis Pulau Pinang memeriksa gandum yang dibawa masuk melalui kapal kargo di Butterworth pada Sabtu lalu.

“Semakan mendapati pihak pengimport telah mengemukakan maklumat yang berbeza serta mengelirukan pada permit import Maqis.

“Susulan itu, kita menahan barang dagangan tersebut untuk tindakan lanjut,” katanya hari ini.

Tambah Maqis, pengimport gagal mengemukakan maklumat yang tidak tepat akan disiasat mengikut Seksyen 13, Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 [Akta 728] iaitu mana-mana orang yang memberikan maklumat palsu, tidak tepat atau mengelirukan dalam pengimportan keluaran pertanian adalah menjadi suatu kesalahan.

Jika disabitkan kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau keduanya sekali.

“Selain itu, Maqis juga mengambil langkah serius dalam isu melibatkan keselamatan makanan, kawalan penyakit dan risiko kemasukan perosak yang boleh mengancam industri pertanian negara.

“Tindakan penguatkuasaan undang-undang akan terus diperkasa bagi memastikan kawalan penyakit haiwan, ikan, tumbuhan dan jaminan keselamatan makanan terpelihara,” kata kenyataan itu. – MalaysiaGazette