KUALA LUMPUR – Ketua jurulatih Sri Pahang FC, Dollah Salleh akan memikirkan jalan terbaik untuk memastikan pasukan kendaliannya tidak tersingkir awal pada saingan TM Piala Malaysia musim ini bagi mengelakkan tragedi 2016 berulang.
Juara empat kali Piala Malaysia yang berada di bawah bimbingan Razip Ismail ketika itu gagal ke suku akhir sebelum Dollah Salleh kembali mengendalikan pasukan pada musim 2017 dan berjaya mara sehingga ke separuh akhir pada 2019.
Justeru, pengendali berusia 58 tahun ini menyifatkan masih belum terlambat untuk barisan pemain kembali mendapatkan prestasi terbaik untuk terus berjuang memburu kemenangan pertama selepas dua kali tewas dalam aksi kumpulan A ketika ini.
Apa yang pasti, mereka perlu belajar daripada kesilapan lalu dan kembali memperbaiki kelemahan dalam tempoh rehat selama hampir satu bulan sebelum kembali beraksi.
“Secara jujur, memang saya boleh katakan agak bergelut untuk mara ke suku akhir, tetapi sekarang bukan masa untuk mengangkat bendera putih sebab macam mana pun kami kena terus berjuang juga.
“Sekarang saya nak pemain-pemain lupakan apa yang pasukan sudah lalui sebelum ini dan fokus untuk perlawanan akan datang sebab kalau mereka terus fikirkan kekalahan demi kekalahan yang lepas, memang benda ini akan berterusan seperti itu.
“Masing-masing kena fikir macam mana kita nak atasi benda ini dan untuk dapatkan balik kemenangan sebab kita bukan tiada peluang, masih ada peluang lagi nak menang, cuma kena lebih positif dan perbaiki balik kelemahan”, jelasnya.
Dalam masa sama, Dollah mengakui tidak terlalu tertekan memikirkan posisinya selaku ketua jurulatih di sebalik prestasi pasukan yang tidak menentu ketika ini kerana apa yang lebih penting adalah untuk meletakkan kembali Sri Pahang ke kedudukan yang lebih baik.
“Sebenarnya saya sudah lali dengan benda-benda seperti ini sebab macam-macam rintangan saya dah tempuh dalam karier.
“Ada pahit dan ada manis, jadi saya tiada nak fikir negatif sangat pun mengenai perkara macam ini dan nak cakap tertekan sangat pun, tiada la sampai macam tu.
“Yang penting sekarang, saya tetap positif dan saya lebih fikirkan untuk macam mana kita nak tempuh bagi perlawanan-perlawanan akan datang, itu sahaja”, tambahnya.
Sri Pahang kini masih gagal meraih sebarang mata selepas tewas dalam dua perlawanan ketika menentang Kuala Lumpur City FC dan Sarawak United FC.
Saingan TM Piala Malaysia akan bersambung pada 29 Oktober ini bagi memberi laluan kepada skuad negara yang kini berada di Amman, Jordan bagi menghadapi perlawanan antarabangsa tier 1. – MalaysiaGazette