Home Nasional Rumah Bonda: Pendakwaan serah 21 dokumen

Rumah Bonda: Pendakwaan serah 21 dokumen

Pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd Razali.

KUALA LUMPUR – Mahkamah Sesyen di sini hari ini dimaklumkan sebanyak 21 dokumen telah diserahkan kepada pasukan pembelaan Pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd Razali.

Siti Bainun kini berdepan dengan pendakwaan tuduhan mengabaikan seorang remaja perempuan sindrom down berusia 13 tahun.

Menurut Timbalan Pendakwa Raya, Noor Shakira Aliana Alias, pihaknya telah membuat penyerahan dokumen kepada pasukan pembelaan pagi tadi.

“Ada beberapa lagi dokumen yang belum disempurnakan antaranya laporan perubatan dan juga laporan berkaitan psikiatri mangsa, kami mohon tarikh baru untuk sebutan,” katanya di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen, Izralizam Sanusi.

Mahkamah kemudian menetapkan 25 November depan untuk pengurusan kes berkenaan.

Sebelum ini,  Siti Bainun yang dipertanggungjawabkan untuk menjaga remaja berkenaan didakwa mengabaikannya sehingga menyebabkannya mengalami kecederaan fizikal dan emosi.

Siti Bainun didakwa melakukan perbuatan itu di rumah di Seksyen 10, Wangsa Maju, di sini antara Februari hingga Jun lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi 20 tahun atau kedua-duanya.

Pada 6 Julai lalu, media melaporkan remaja perempuan sindrom Down disyaki didera di rumah penjagaan di Wangsa Maju, di sini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Senior Asisten Komisioner Saiful Annuar Yusoff dipetik berkata, mangsa mengalami kesan melecut di dada, tangan, leher dan paha selain kesan luka di bahagian badan lain. – MalaysiaGazette