KUALA LUMPUR – CORE Precious Development Sdn Bhd. (CORE Precious) merancang untuk melancarkan Tower 3 dengan rakan pengurusan hotel antarabangsa tidak lama selepas projek CORE Residence @ TRX mencapai langganan 70% untuk Tower 1 dan Tower 2.
CORE Precious adalah syarikat usaha sama antara China Communications Construction Group (CCCG) – salah sebuah syarikat dalam senarai Fortune Global 500 dengan WCT Holdings Berhad – salah sebuah syarikat peneraju kejuruteraan dan
pembinaan dan pemaju hartanah Malaysia.
Dalam satu kenyataan media hari ini, syarikat itu berkata, unit kediaman di CORE Residence @ TRX telah dilanggan terutamanya oleh pelanggan dari 20 lebih negara dan wilayah Asia.
”Walaupun terdapat kesan pandemik yang berlanjutan dan beberapa sekatan di seluruh negara, namun jumlah besar jualan telah diraih dalam tempoh beberapa bulan terakhir ini adalah usaha pemasaran digital yang agresif seperti ejen penstriman secara langsung, lawatan rumah secara maya serta kempen media sosial yang kreatif,” katanya.
Kelebihan daya saing projek yang unik susulan lokasinya yang berpusat, harga yang berpatutan berbanding dengan negara lain serta jaminan peningkatan harga pada masa hadapan, adalah beberapa sebab mengapa projek ini menjadi pilihan utama dalam kalangan ekspatriat.
Pengarah CCCG Overseas Real Estate Pte Ltd Zhang Bao berkata, masih ada permintaan yang tinggi untuk hartanah kediaman mewah di Kuala Lumpur kerana harga per kaki persegi di ibu kota yang sangat berpatutan, aksesibiliti mantap dengan perkhidmatan pengangkutan bersepadu dan kualiti hidup yang tinggi ini, menjadikannya destinasi ekspatriat atau persaraan bagi pembeli Asia di luar negara.
”Kami yakin dapat mencapai kadar langganan 100% untuk CORE Residence @ TRX sebelum tarikh siap yang mana dijangka pada tahun 2023,” katanya.
Projek ini, yang terdiri daripada dua menara kediaman berservis dan satu menara pangsapuri berservis, telah mencapai Tingkat 12 dalam pembinaan dan pihak syarikat bergerak maju ke fasa projek seterusnya dengan lancar. – MalaysiaGazette