PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berharap senario politik di Melaka akan kembali stabil biar pun berlaku pergolakan sejak semalam.
Namun beliau akur tidak ada sesiapa boleh menjangka atau membuat spekulasi tepat apa akan terjadi dalam politik.
“Kita tidak tahu apa sahaja boleh berlaku dalam politik ini. Perkara mustahil boleh jadi tidak mustahil. Kita tidak boleh nak membuat spekulasi tepat apa yang akan berlaku.
“Sekarang ini selepas MoU ditandatangani antara kerajaan dan pembangkang kita lihat politik stabil bukan sahaja keadaan tenang di Parlimen, tetapi seluruh negara keadaan stabil dan rakyat gembira dengan keadaan seperti itu. Tidak berlaku politiking melampau seperti dahulu,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas melancarkan Bulan Kesiapsiagaan Nasional (BKN) 2021 di sini hari ini.
Semalam, bekas Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Idris Haron bersama tiga lagi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional dan Bebas mengumumkan menarik sokongan terhadap kerajaan negeri pimpinan Datuk Seri Sulaiman Md Ali.
Tiga ADUN terbabit adalah Datuk Nor Azman Hassan (BN-Pantai Kundor), Datuk Noor Effandi Ahmad (BERSATU-Telok Mas) dan Datuk Norhizam Hassan Baktee (Bebas-Pengkalan Batu). – MalaysiaGazette