JOHOR BAHRU – Ingat sekejap sahaja, tetapi tak sangka lawatan lima minit untuk mengeluarkan duit dari mesin pengeluaran wang automatik (ATM) di bank tanpa melakukan pengimbasan aplikasi MySejahtera menyebabkan beberapa orang didenda RM1,500.
Sebaik sahaja melangkah keluar dari bank, seorang lelaki Melayu dilaporkan serta-merta ditahan polis kerana tidak melakukan pengimbasan MySejahtera terlebih dahulu.
Telefon lelaki itu dilaporkan tiada bateri ketika melawat bank itu di Ulu Tiram, Johor Bahru pada 30 September lalu.
China Press melaporkan bahawa polis memang mengintai di luar bank tersebut untuk mengenal pasti orang ramai yang ‘menyelinap’ masuk tanpa mengimbas melalui aplikasi MySejahtera.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, ACP Raub Selamat berkata, anggota polis akan menyorok dan mengintai di luar bank dan mengeluarkan saman kepada individu yang keluar dari bank setelah menghabiskan urusan di bank, tetapi tidak melakukan pengimbasan MySejahtera.
“Kira-kira empat hingga lima orang telah menerima saman kerana tidak melakukan pengimbasan serta tidak menuliskan butiran pada buku rekod di bank,” katanya kepada China Press.
Beliau mengingatkan bahawa walaupun Johor berada dalam pemulihan fasa kedua, tetapi orang ramai bukannya bebas sepenuhnya kerana kes COVID-19 masih menular.
Beliau berkata, pihak polis juga akan terus melakukan pemantauan dan memastikan orang ramai mematuhi prosedur operasi standard (SOP). – MalaysiaGazette