KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesan 14 lagi kluster baharu berkaitan penularan wabak Covid-19 hari ini.
Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, jumlah itu menjadikan jumlah kumulatif kluster aktif sebanyak 956 kluster.
Pada masa sama, jelas beliau, sebanyak 4,580 kluster telah tamat sehingga hari ini.
“Sementara itu, daripada 8,817 kes harian yang dilaporkan pada hari ini, 182 kes atau 2.1 peratus adalah kategori 3, 4, dan 5.
“Manakala 8,635 kes atau 97.9 peratus lagi adalah terdiri daripada kategori 1 dan 2,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Dr. Noor Hisham menambah, sebanyak 15,615 kes sembuh dicatatkan hari ini yang menjadikan jumlah kumulatif 2,131,636 kes.
Kata beliau, kes yang memerlukan rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) ketika ini adalah 851 kes.
“Kes memerlukan bantuan pernafasan pula sebanyak 395 kes,” katanya. – MalaysiaGazette