CALIFORNIA – Perkhidmatan media sosial Facebook, WhatsApp dan Instagram kembali pulih selepas terganggu hampir enam jam, kata Facebook.
Ketiga-tiga perkhidmatan itu dimiliki oleh Facebook, tidak dapat diakses melalui web atau aplikasi telefon pintar.
Downdetector, yang mengesan gangguan tersebut mengatakan, ia adalah kegagalan terbesar yang pernah dilihatnya, dengan 10.6 juta laporan masalah diterima dari seluruh dunia.
Kali terakhir Facebook mengalami gangguan sebesar ini adalah pada tahun 2019.
Perkhidmatannya ditutup sekitar jam 16:00 GMT dan pengguna mulai mendapat akses ke laman web sekitar jam 22:00.
Facebook membuat permohonan maaf kepada mereka yang terjejas akibat gangguan itu.
Ketua pegawai teknologi gergasi media sosial itu, Mike Schroepfer berkata, ia mungkin memerlukan sedikit masa untuk mengembalikan semula perkhidmatan 100%.
Instagram dan WhatsApp juga mengesahkan perkhidmatan mereka mula beroperasi.
Kerosakan berskala ini dalam jangka masa yang lama jarang berlaku.
Gangguan pada tahun 2019 menjadikan Facebook dan aplikasinya yang lain, kebanyakannya tidak dapat diakses di seluruh dunia selama lebih dari 14 jam.
Setakat ini belum ada makluman rasmi punca masalah tersebut.
Tetapi pakar rangkaian dalam talian membuat spekulasi gangguan ini mungkin melibatkan kesalahan dengan DNS atau sistem nama domain untuk laman Facebook.
DNS sering dibandingkan dengan buku alamat atau buku telefon untuk Internet, mengarahkan penyemak imbas web ke sistem komputer yang melayani laman web yang mereka cari.
Masalah sebelumnya dengan DNS menyebabkan gangguan meluas dari beberapa laman web utama pada awal tahun ini. – BBC