KUALA LUMPUR – Kerajaan telah membelanjakan lebih daripada RM330 bilion atau lebih kurang 62 peratus daripada pakej rangsangan ekonomi bernilai RM530 billion untuk memanfaatkan 20 juta rakyat dan 2.4 juta perniagaan setakat 24 September 2021.
Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz berkata, kerajaan telah mengambil langkah proaktif dan segera untuk menangani krisis Covid-19, terutamanya dalam memenuhi keperluan sistem kesihatan awam, membantu rakyat yang terjejas dan menyokong kelangsungan perniagaan.
”Oleh kerana situasi Covid-19 bersifat dinamik, adalah wajar bagi kerajaan untuk sentiasa berwaspada terhadap perkembangan semasa.
”Berdasarkan Belanjawan 2021, unjuran defisit adalah 5.4 peratus,” katanya yang menjawab soalan Lim Guan Eng (DAP-Bagan) yang meminta menteri kewangan menyatakan jumlah yang dibelanjakan berbanding dengan yang diperuntukkan sejak pandemik Covid-19 melanda Malaysia dan apakah bentuk bantuan wang rakyat dan keberkesanannya.
Menurut beliau, kerajaan telah mengambil pendirian dasar fiskal yang mengembang dalam mengatasi krisis Covid-19.
Oleh itu, defisit untuk tahun ini dijangka mencecah antara 6.5 hingga 7.0 peratus.
Setakat 15 September, daripada jumlah peruntukan sebanyak RM322.5 bilion di bawah Belanjawan 2021, sejumlah RM216 bilion atau lebih daripada 66 peratus telah dibelanjakan seperti yang dirancang.
Tambahnya, bagi menampung suntikan fiskal tambahan khusus untuk menangani krisis COVID-19, Kerajaan telah membiayai langkah pakej-pakej ini melalui Kumpulan Wang COVID-19 (KWC).
Setakat pertengahan bulan September 2021, nilai keseluruhan yang telah dibelanjakan di bawah KWC telah mencecah RM60 bilion atau lebih dari 90 peratus siling semasa KWC bernilai RM65 bilion.
Tengku Zafrul juga memberitahu, mengambil kira keperluan tambahan, kerajaan akan membentangkan usul untuk meningkatkan lagi had siling KWC daripada RM65 bilion kepada RM110 billion untuk membiayai bantuan dan sokongan tambahan bagi
tahun ini dan selanjutnya.
Dari segi bantuan tunai langsung kepada rakyat, kerajaan telah menyediakan peruntukan sebanyak RM33 bilion manakala dari segi bantuan tunai kepada perniagaan, khususnya golongan usahawan mikro dan perusahaan kecil dan sederhana, kerajaan telah menyediakan peruntukkan hampir RM30 bilion.
”Dari segi keberkesanan pakej dan langkah berkenaan, trend pemulihan ekonomi dapat dilihat ekonomi negara telah berkembang sebanyak 7.1 peratus pada separuh pertama tahun 2021, berbanding penguncupan sebanyak 8.4 peratus pada tempoh
yang sama pada tahun 2020,” ujarnya. – MalaysiaGazette