Home Sukan Piala Malaysia: Sarawak United belum boleh gembira

Piala Malaysia: Sarawak United belum boleh gembira

tommy Mawat Bada. Foto Facebook Sarawak United FC Official.

KUALA LUMPUR – Bergelar pendahulu Kumpulan A TM Piala Malaysia 2021 dengan merekod kemenangan dua kali berturut-turut ke atas pasukan Liga Super bukan tiket buat Sarawak United FC untuk sudah berpuas hati dan berasa sangat gembira.

Pertahanan Sarawak United, Tommy Mawat Bada merasakan tempoh rehat liga selama sebulan berikutan perlawanan dalam kalendar antarabangsa Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) akan menjadikan suasana bagi baki empat perlawanan seterusnya sukar diramal.

Jelasnya, semua pasukan berpeluang memperbaiki kelemahan masing-masing selain kecederaan pemain-pemain utama mungkin sempat pulih yang menjadikan suasana menjelang perlawanan ketiga TM Piala Malaysia 2021 pada 29 dan 30 Oktober pasti mendebarkan.

Situasi itu menyebabkan pemain berusia 26 tahun berkenaan tidak berasakan Sarawak United seharusnya berdabik dada kerana melihat Kuala Lumpur City FC, Penang FC dan Sri Pahang pasti akan cuba bangkit bagi merampas kedudukan pendahulu Kumpulan A.

“Memang tiada siapa menyangka Sarawak United boleh berada dalam kedudukan ini kerana ramai melihat kami hanya underdog jika dilihat semua pasukan lain dalam Kumpulan A.

“Saya rasa mungkin semua pemain mahu bangkit dari kekecewaan di Liga Premier apabila kami terlepas kejuaraan di saat akhir dan mahu menebusnya pada saingan Piala Malaysia.

“Berbaki lagi empat perlawanan, sukar untuk saya jangkakan kami mampu meneruskan momentum dua kemenangan yang kami telah buat sebelum ini kerana tempoh rehat selama satu bulan ini.

“Jadi, kami tidak boleh leka dengan kedudukan di tangga teratas kerana pasukan seperti Sri Pahang dan Penang pasti akan cuba perbaiki sebarang kelemahan dalam dua perlawanan sebelum ini manakala KL City pasti akan mengkaji sebaik mungkin perlawanan kami bagi aksi ketiga Piala Malaysia.

“Seperti kami, sudah pasti selepas balik dari cuti dan kembali menjalani latihan, kami akan bekerja keras dapatkan balik momentum yang dibina pada dua perlawanan lalu, ” katanya.

Sarawak United menjadi pasukan paling mencuri tumpuan selepas TM Piala Malaysia 2021 apabila mengejutkan pasukan pilihan, Penang 3-1 pada aksi sulung di Stadium Bandaraya dan meraih kemenangan tipis 1-0 berdepan Sri Pahang.

Situasi itu meletakkan mereka berjaya mengetepikan KL City di tangga teratas yang ketika ini mengumpul empat mata sementara Penang, satu mata manakala Sri Pahang tanpa sebarang mata.

Tommy yang beraksi selaku pemain sayap bertahan di sebelah kiri telah meledak jaringan kemenangan semasa menewaskan Sri Pahang di Stadium UiTM Shah Alam.

Menyentuh aksinya setakat ini dengan Sarawak, Tommy menjelaskan dia begitu selesa bermain di posisi berkenaan sambil berasakan banyak kebebasan dimilikinya bagi membantu barisan serangan.

“Jurulatih, E. Elavarasan ada menukar taktikal 3-5-2 bagi kempen Piala Malaysia dan saya banyak digunakan bahagian ‘wing back’ di sebelah kiri berbanding sebelum ini sebagai pemain pertahanan.

“Saya berani naik ke atas untuk menguatkan jentera serangan jika yang membantu di bahagian belakang adalah Khair Jones selain dibantu Taylor Regan kerana dia banyak pengalaman bermain di posisi pertahanan.

“Selain itu, lawan juga akan berikan fokus kepada Ashri Chuchu yang beraksi di sayap kiri sekali gus membuka ruang kepada saya untuk bergerak bebas di bahagian serangan, ” katanya. – MalaysiaGazette