Home Politik Putaran roda terus berlaku, segera gubal akta anti-lompat parti

Putaran roda terus berlaku, segera gubal akta anti-lompat parti

Asyraf Wajdi Dusuki Act 342 harsher punishment
Asyraf Wajdi Dusuki

KUALA LUMPUR – Kerajaan harus segera menggubal akta anti lompat parti, gesa Ketua Pemuda UMNO, Datuk Asyraf Wajdi Dasuki.

Menurut beliau, selagi tiada akta ini, selagi itulah politik negara tidak akan stabil lantaran wujud katak-katak politik berkepentingan.

Akibatnya, rakyat menjadi mangsa akibat rakus politik.

Tegas beliau, episod lompat parti jangan dilihat daripada satu sudut semata-mata kerana semua pihak ada saham dalamnya.

”Sebagaimana yang berlaku dalam episod seawal Kerajaan Pakatan Harapan (PH) dibentuk, Sabah menyaksikan negeri pertama jatuhnya kerajaan apabila beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional (BN) melompat ke Warisan.

”Kemudian PH juga menghalalkan lompat parti 15 Ahli Parlimen UMNO ke Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM),” katanya.

Asyraf dipercayai mengulas pergolakan politik di Melaka selepas empat ahli dewan undangan negeri menarik sokongan terhadap ketua menteri.

Empat ADUN terbabit ialah bekas Ketua Menteri, Datuk Seri Idris Haron (BN – Sungai Udang), Datuk Nor Azman Hassan (BN – Pantai Kundor), Datuk Noor Effandi Ahmad (Bersatu – Telok Mas) dan Datuk Norhizam Hassan Baktee (Bebas – Pengkalan Batu).

Kerajaan negeri pimpinan Barisan Nasional itu sebelum ini diwakili 17 ADUN yang terdiri daripada 14 (BN-UMNO) dua (Bersatu) dan satu bebas.

Pembangkang pula mempunyai 11 kerusi iaitu tujuh (DAP), dua (PKR) dan dua (Amanah).

Namun dengan penarikan sokongan empat ADUN itu, secara teknikal Datuk Seri Sulaiman Md Ali sudah pun kehilangan majoriti di DUN untuk terus menerajui Kerajaan Negeri Melaka.

Akhirnya, PH jatuh juga kerana PPBM melompat keluar daripada menjadi komponen PH, ditambah beberapa Ahli Parlimen PKR lompat kepada PPBM.

”Putaran roda terus berlaku bak kata pepatah Inggeris ‘What Goes Around Comes Around’….episod jatuh bangun kerajaan kerana lompat melompat terus berlarutan sehingga menyebabkan politik negara tidak akan stabil,” ujar beliau. – MalaysiaGazette