Home Nasional Bilangan kluster Covid-19 terus menurun

Bilangan kluster Covid-19 terus menurun

Tiga kluster baharu berkaitan Covid-19 dikesan di negara ini.- Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Seiring dengan penurunan kes positif harian Covid-19 di bawah paras 10,000 kes selama empat hari berturut-turut sejak Ahad lalu, bilangan kluster harian juga menunjukkan trend yang sama.

Sehubungan itu,  setakat 24 jam lalu, sebanyak 11 kluster baharu Covid-19 membabitkan 144 kes positif yang dikesan di dalam negara berbanding 14  semalam.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, daripada 11 kluster terbaharu itu, masing-masing lima dikesan sebagai kluster kategori tempat kerja dan komuniti.

Katanya, kluster tempat kerja membabitkan sebanyak 83 kes positif manakala kluster komuniti membabitkan sebanyak 54 kes positif.

“Manakala satu kluster kategori Kumpulan Berisiko Tinggi dikesan kali ini membabitkan tujuh kes positif. Lima kluster tempat kerja berkenaan adalah Industri Batu Empat Kempas,Tapak Bina Jalan Pendas,Seri Paya, Dataran Air Muleh dan Industri Dua Batu 29 Jalan Ipoh.

“Daripada lima kluster kerja berkenaan, tiga telah dikenalpasti di Johor Bahru (2) dan Tangkak (satu kluster) di susuli masing-masing satu kluster tempat kerja di daerah Pasir Pas, Tumpat, Machang dan Kota Bharu di Kelantan dan Hulu Selangor,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Dr. Noor Hisham, lima kluster komuniti pula dikenalpasti iaitu empat di daerah Kota Bharu, Tumpat, Pasir Puteh, Pasir Mas di Kelantan dan satu di Kuala Pilah dan Jelebu, Negeri Sembilan.

“Lima kluster komuniti berkenaan adalah Kampung Biah, Kampung Hutan Melor,Kampung Kedondong Hilir, Kampung Sokor dan Langkap 2 manakala Kumpulan Berisiko Tinggi,Gual Tinggi pula dikesan di daerah Pasir Mas dan Kota Bharu di Kelantan,” ujarnya.

Justeru menurut Dr. Noor Hisham, sebanyak 932 kluster yang masih dilaporkan aktif manakala 4,615 kluster telah ditamatkan kerajaan.- MalaysiaGazette