Home Nasional Cuba rasuah, tekong bot nelayan Vietnam didenda RM1.5 juta

Cuba rasuah, tekong bot nelayan Vietnam didenda RM1.5 juta

Kesemua tahanan termasuk tekong bot nelayan Vietnam dan 20 awak-awak dihadapkan ke Mahkamah Seksyen 2, Kuantan, Pahang hari ini.

KUANTAN – Seorang tekong bot nelayan Vietnam mengaku bersalah di Mahkamah Seksyen 2 di sini atas pertuduhan menawarkan suapan RM2,000 kepada pegawai Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia).

Dalam penghakiman, mahkamah telah mengenakan hukuman denda sebanyak RM1.5 juta dan tiga bulan penjara jika gagal membayar denda.

Tran Van Minh, 42, mengaku bersalah di bawah Seksyen 214 Kanun Keseksaan di hadapan Hakim Datuk Ahmad Zamzani Mohd Zain tengah hari tadi.

Pertuduhan dibacakan oleh Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Siti Sarah Zainal Abiddin.

Tertuduh didakwa menawarkan suapan bernilai RM2,000 kepada pegawai maritim kira-kira pukul 8.39 pagi pada 12 Disember lalu sebagai dorongan agar tidak mengambil tindakan ke atas diri dan 20 awak-awaknya.

Terdahulu Van Minh didakwa melakukan kesalahan itu ketika ditahan di lokasi 83 batu nautika tenggara Kuala Kuantan atas kesalahan di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Perikanan 1985 kerana menceroboh perairan negara.

Bagi kesalahan itu, tertuduh yang diwakili peguam, Mohammad Suhaimi Ismail didakwa mengikut Seksyen 17(b) Akta SPRM 2009.

Jika sabit kesalahan, tertuduh berdepan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun, denda tidak kurang lima kali nilai suapan atau RM10,000 atau mana-mana jumlah yang paling tinggi.

Wang rasuah yang disita berjumlah RM2, 000 telah dilucuthak dan dimasukkan ke dalam hasil kerajaan melalui SPRM. – MalaysiaGazette