Home Akhbar Cina Doktor lega tetapi tidak leka

Doktor lega tetapi tidak leka

Petugas kesihatan merawat pesakit Covid-19 ketika tinjauan eksklusif MalaysiaGazette di Wad Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Kuala Lumpur. Foto FAREEZ FADZIL, 04 JUN 2021.

KUALA LUMPUR –  Para petugas perubatan di Lembah Klang kini boleh menarik nafas lega dengan pengurangan kes COVID-19 di wad.

Doktor perunding perubatan kecemasan, Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM), Profesor Mada Dr. Tan Toh Leong berkata, berbanding menerima 50 hingga 100 pesakit setiap hari pada Ogos lalu, jumlah pesakit telah mula menunjukkan penurunan pada September.

“Dengan pengurangan kes di Kuala Lumpur dan Selangor, PPUKM bukan lagi hospital khusus COVID-19 dan jumlah pesakit COVID-19 yang diterima kami setiap hari kini kurang daripada 10 orang, malahan tiada kes pada hari-hari tertentu.

“Setakat 1 Oktober, hanya tinggal belasan pesakit yang perlu berada dalam wad dan kami telah melihat keberkesanan vaksin dalam melawan COVID-19,” katanya kepada China Press.

Menurutnya, kebanyakan pesakit hanya perlu dikuarantin dan menerima rawatan di rumah kerana menunjukkan tanda-tanda yang ringan.

“Walaupun memang ada pesakit yang menunjukkan tanda-tanda kritikal, tetapi jumlah mereka telah menjadi sedikit,” katanya.

Menurutnya, petugas kesihatan mula melihat sinaran harapan dan tidak perlu lagi menghadapi tugas yang terlalu banyak.

Masih segar dalam ingatan Dr. Tan bagaimana pesakit terpaksa berada di unit kecemasan sehingga dua minggu kerana berlaku kesesakan dalam unit rawatan rapi (ICU) sebelum ini.

“Terdapat juga yang pesakit yang meninggal dunia di unit kecemasan sebelum mereka sempat dihantar ke ICU.

“Semasa kes memuncak, petugas perubatan perlu bekerja lebih masa setiap hari dan kesibukan kerja menyebabkan kami lupa masa dan lupa hari,” katanya.

Walaupun bersyukur dengan keadaan yang bertambah baik, Dr. Tan bagaimanapun meminta orang ramai supaya jangan leka kerana varian baharu boleh menyebabkan bencana baharu.

“Kami tidak tahu sama ada akan wujud varian baharu yang mungkin mewujudkan masalah besar nanti.

“Tetapi saya percaya kami bersedia menghadapi apa jua kemungkinan kerana kami telah belajar daripada kesilapan,” katanya. – MalaysiaGazette