MELAKA – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Udang, Datuk Seri Idris Haron mendedahkan dua presiden parti politik telah mempelawanya untuk menyertai parti mereka.
Namun Idris tidak mendedahkan nama pemimpin-pemimpin yang menghubungi beliau.
“Ada tiga, empat parti yang telah menghubungi saya, tapi bila tersebar saya dipecat dua presiden parti hubungi saya.
“Jadi pintu (UMNO) ditutup, ada pintu lain yang terbuka, jadi politik ini subur tapi demokrasi mandul di Melaka,” katanya dalam sidang media bersama ADUN Pantai Kundor, Datuk Nor Azman Hassan di sebuah resort, hari ini.
Semalam UMNO mengumumkan telah mengeluarkan surat perlucutan keahlian terhadap Idris dan Nor Azman yang ditandatangani Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, status Idris dan Nor Azman sebagai ahli UMNO gugur secara automatik di bawah Fasal 20.11 dan Fasal 20.9 Perlembagaan UMNO.
Surat pelucutan keahlian yang bertarikh 5 Oktober itu akan diserahkan kepada kedua-dua wakil rakyat terbabit dalam tempoh terdekat.
Idris bersama Nor Azman dan ADUN Telok Mas, Datuk Noor Effandi Ahmad dan ADUN Pengkalan Batu, Datuk Norhizam Hassan Baktee telah menarik sokongan terhadap kerajaan negeri pimpinan Datuk Seri Suleiman Md Ali yang mengakibatkan kerajaan itu jatuh.
Mengulas mengenai itu, Idris mendakwa beliau dan Nor Azman masih lagi ahli UMNO kerana belum menerima sebarang surat daripada parti itu.
Bagaimanapun, bekas ketua menteri Melaka itu berkata, pihaknya akan mengemukakan surat balas kepada surat pemecatan itu.
“Saya belum dapat surat pemecatan keahlian, cuma dapat tahu menerusi media tpai secara fizikal saya tidak nampak surat itu lagi.
“Saya tidak pasti bila akan dapat, tapi saya akan balas surat yang diberikan dan mempersoalkan mengapa tindakan yang diambil kepada kami.
“Tetapi dalam masa yang sama, mengapa beberapa pemimpin-pemimpin UMNO seperti Tan Sri Annuar Musa, Datuk Seri Shahidan Kassim dan Datuk Seri Ismail Sabri masih lagi berada dalam parti sedangkan mereka pernah dianggap pengkhianat kerana tidak setuju dengan dasar parti,” soal Idris.
Dalam pada itu, Idris berkata selepas mengadakan sidang media pegumuman penarikan balik sokongan itu pada Isnin lalu, pihaknya telah dihalau dan diarahkan mengosongkan pejabat masing-masing.
“Pembubaran itu boleh atau tidak, dalam keadaan mereka main politik dan niat buruk dengan mengarahkan kami kosongkan pejabat masing-masing.
“Kami dihalau keluar daripada pejabat kami, ini masalah mentaliti kerajaan minoriti,” katanya. – MalaysiaGazette