GEORGE TOWN – Orang ramai diminta menghentikan spekulasi berkaitan kematian saksi pendakwaan projek terowong dasar laut membabitkan bekas Ketua Menteri, Lim Guan Eng.
Timbalan Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Fisol Salleh berkata, hasil siasatan pihaknya mendapati tiada unsur jenayah dalam kes kematian ahli perniagaan bergelar Datuk yang terjatuh dari tingkat 16 Kondominium Palazo Jalan Kelawei, Pulau Tikus semalam.
Jelas beliau, laporan bedah siasat terhadap lelaki berusia 53 tahun yang dilakukan di Jabatan Forensik Hospital Pulau Pinang pada petang tadi juga mendapati punca kematian adalah impak kecederaan terjatuh dari tempat tinggi (multiple injuries due to fall).
Kata Fisol, berdasarkan keterangan isteri mangsa berusia 55 tahun dan dua anaknya yang masing-masing berusia 21 dan 24 tahun itu mendapati mendapati tiada sebarang kelakuan uar biasa daripada mangsa dan keterangan ketiga-tiga mereka adalah konsisten.
“Hasil siasatan mendapati mangsa dipercayai terjatuh dari balkoni kediamannya dan ketika kejadian isteri serta dua anak mangsa sedang tidur.
“Siasatan lanjut mendapati, mangsa tidak berada di bawah pengaruh alkohol atau dadah serta tidak mempunyai sejarah penyakit mental.
“Selain itu, polis turut meneliti rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) di kolam renang, pintu masuk, lif dan mendapati tiada kelibat individu mencurigakan keluar masuk di kondominium mewah milik mangsa,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang hari ini.
Secara keseluruhan polis rakam keterangan empat individu bagi membantu siasatan kematian mangsa selain merampas dua telefon bimbit serta dua iPad mini milik mangsa untuk siasatan.
Ketika diminta mengulas sama ada mangsa tertekan dengan kes pendakwaan yang sedang berjalan, Fisol berkata, isterinya hanya memberitahu sebelum ini mangsa memaklumkan dia dipanggil oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sahaja.
“Itu sahaja isterinya maklum ketika keterangannya dirakamkan dan dia (isteri mangsa) juga memberitahu suaminya tidak mempunyai masalah depresi.
“Pihak keluarga puas hati dengan siasatan pihak polis dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.
“Saya harap semua pihak henti buat spekualasi berhubung kematian mangsa dan saya tidak dapat mendedahkan identiti sebenarnya kerana menghormati perasaan ahli keluarga mangsa,” kata Fisol.
Sementara itu, tinjauan MalaysiaGazette di Jabatan Forensik Hospital Pulau Pinang mendapati mayat mendiang dituntut keluarga pada jam 6.05 petang tadi.
Difahamkan, upacara pengebumian mendiang akan berlangsung di Krematorium Batu Gantung di sini esok.
MalaysiaGazette semalam melaporkan, seorang saksi pendakwaan melibatkan projek terowong dasar laut di Pulau Pinang ditemui mati selepas dipercayai terjatuh dari kediamannya di sebuah kondominium mewah di Jalan Kelawei, Pulau Tikus di sini.
Mangsa berusia 53 tahun yang juga Ketua Pegawai Eksekutif sebuah syarikat pemaju hartanah terkemuka itu sebelum ini pernah memberi keterangan di mahkamah membabitkan kes tersebut pada tahun 2018. – MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN: