Home Nasional Johor beralih Fasa 3 PPN, Pahang Fasa 4 mulai 8 Oktober

Johor beralih Fasa 3 PPN, Pahang Fasa 4 mulai 8 Oktober

Rodzi Md. Saad

KUALA LUMPUR – Johor akan beralih ke Fasa 3 Pelan Pemulihan Negara (PPN) bermula 8 Oktober ini manakala Pahang pula beralih ke Fasa 4 daripada Fasa 3 PPN.

Menurut Ketua Pengarah Majlis Keselamtan Negara (MKN), Datuk Rodzi Md Saad, peralihan fasa dibuat berdasarkan penilaian risiko bersama-sama dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Prosedur Operasi Standard (SOP) bagi negeri-negeri yang memasuki fasa 3 dan 4 sama dengan sebelum ini. Keterangan SOP terkini akan dikemaskini oleh MKN di laman sesawang,” katanya menerusi kenyataan  hari ini.

Dalam pada itu, menurut Rodzi, waktu operasi pasar borong di kawasan Fasa 2 dan 3 PPN dibenarkan beroperasi mengikut waktu yang telah ditetapkan mengikut syarat lesen dan permit Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

“Yang mana ditetapkan dengan syarat pekerja divaksin lengkap dan mematuhi SOP sedia ada,” katanya.

Selain itu,  upacara Mengikat Thaali di rumah ibadat kuil bagi penganut agama Hindu dan Pernikahan Kudus bagi agama Kristian juga sudah dibenarkan.

“Kementerian Perpaduan akan memaklumkan kepada Persatuan Agama Hindu dan Persatuan Agama Kristian berhubung SOP yang perlu dipatuhi,” ujarnya.

Tambah Rodzi, pengoperasian aktiviti lelongan awam bagi barangan sandaran di bawah sektor pajak gadai berdaftar juga dibenarkan beroperasi.

Syarat yang perlu dipatuhi adalah pekerja haruslah divaksin lengkap dan hanya melibatkan 54 pelelong yang telah dikenal pasti di seluruh negara.

Katanya, bagi pajak gadai di kawasan Fasa 2 PPN, kapasiti pekerja yanga dibenarkan hanya 60 peratus manakala 50 peratus pembida.

Kawasan Fasa 3 PPN pula, 80 kapasiti pekerja dan pembida dibenarkan berada di premis.

Fasa 4 pula 100 peratus kapasiti pekerja dan pembida di premis pada suatu masa.

“Terhad kepada 30 minit per sesi pada 1 dan 7 haribulan setiap bulan,” jelas Rodzi dan menegaskan semua kelonggaran ini diputuskan pada Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Pandemik Covid-19 yang berlangsung hari ini.-MalaysiaGazette