Home Ekonomi Kenaikan cukai rokok tambah kerugian kerajaan – Kajian

Kenaikan cukai rokok tambah kerugian kerajaan – Kajian

KUALA LUMPUR – Untuk setiap kenaikan cukai sebanyak 10%, kejadian perdagangan rokok seludup akan meningkat sebanyak dua mata peratus, berpotensi mengakibatkan kerajaan menanggung tambahan kerugian sebanyak RM254 juta dari segi hasil cukai yang tidak dikutip, menurut sebuah badan pemikir bukan kerajaan hari ini.

Laporan oleh Datametrics Research and Information Sdn Bhd (DARE) bertajuk Memenangi Peperangan Di Dalam Pasaran Gelap Tembakau turut mendedahkan sindiket jenayah kini mengaut keuntungan RM8 bilion setahun dari segi keseluruhan hasil jualan rokok seludup di Malaysia, sementara kerajaan kerugian kira-kira RM5 bilion dari segi hasil cukai yang tidak dikutip.

Setakat Mei 2021, pasaran rokok seludup di Malaysia ialah di paras 57%, menurut laporan Kajian Rokok Seludup pada Mei 2021.

Pengarah Urusan DARE, Pankaj Kumar berkata, kajian ini jelas menunjukkan menaikkan cukai rokok adalah tidak produktif, malah lebih memudaratkan.

Di sebalik menaikkan hasil kerajaan, mengenakan cukai lebih tinggi terhadap produk sah rokok hanya akan mendorong pengguna beralih ke alternatif lebih murah.

Ini bukan sahaja akan menyebabkan kerajaan kehilangan lebih banyak dari segi hasil cukai.

Ia juga akan memburukkan lagi masalah sosio-ekonomi seperti rasuah secara sistemik di seluruh agensi penguatkuasaan, dijana oleh hasil haram penyeludupan, penyusupan mendalam penjenayah ke seluruh nadi agensi penggubal dasar negara ini dan mengurangkan keyakinan pelabur kerana keluhuran perundangan di Malaysia diancam serius.

Malah walaupun cukai eksais kekal seperti sedia ada, kajian DARE menunjukkan perdagangan rokok seludup akan tetap naik disebabkan faktor mampu dibeli.

Di dalam kaji selidik yang ditugaskan oleh DARE dan dilaksanakan oleh rakan penyelidikan pasarannya, The Green Zebras, kebanyakan perokok (53%) menyatakan mereka akan menukar ke alternatif murah walaupun rokok seludup kerana mereka tidak mampu membeli produk sah pada harga
semasa.

”Semakin ramai pengguna berdepan dengan kekangan pendapatan akibat kehilangan kerja dan potongan gaji disebabkan pandemik Covid-19.

”Oleh kerana rokok sah sangat mahal dibandingkan dengan rokok seludup, permintaan bagi produk pasaran gelap pastinya meningkat dan sindiket jenayah lazimnya akan melakukan apa sahaja untuk memenuhi permintaan dan mengaut keuntungan besar,” jelas Pankaj.

Dalam menyediakan penyelesaian dasar terhadap permasalahan ini, Pankaj menyarankan agar Belanjawan 2022 turut mempertimbangkan penguatkuasaan lebih baik, terutama di kawasan pesisir pantai, mengekalkan moratorium cukai bagi mengurangkan ketirisan hasil cukai, mengurangkan jurang harga antara rokok sah dengan seludup, secara menurunkan cukai tinggi dan mengenakan langkah perundangan lebih ketat bagi membanteras rokok seludup yang dijual di pasaran.

Menurutnya, Malaysia perlu menyelesaikan isu-isu tersebut bagi menjana dana untuk memenuhi Rancangan Malaysia Ke-12. – MalaysiaGazette