Home Nasional Lima anggota penguat kuasa antara tujuh ditahan kes samun

Lima anggota penguat kuasa antara tujuh ditahan kes samun

Geng samun berkawan tumpas dengan tertangkapnya tujuh individu termasuk lima anggota agensi penguat kuasa kerajaan oleh polis dalam serbuan di sekitar Lembah Klang pada 4 dan 5 Oktober lalu.- Gambar Ihsan: IPD Cheras

KUALA LUMPUR – Lima anggota agensi penguat kuasa antara tujuh individu termasuk dua wanita yang ditahan polis selepas dipercayai terbabit dalam jenayah kes samun.

Mereka ditahan dalam beberapa serbuan berasingan  sekitar Lembah Klang antara 4 hingga 5 Oktober lalu, kata Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Muhammad Idzam Jaafar.

Menurutnya, serbuan awal di sebuah rumah di Jalan Pekan Salak Selatan pukul 11 malam Isnin lalu dan pihaknya menahan seorang lelaki dan merampas kunci motosikal serta pakaian miliknya.

“Dalam serbuan kedua pukul 1.20 pagi  di Pandan Indah, Ampang semalam, kami turut memberkas seorang lagi suspek dan merampas sebuah motosikal jenis Yamaha Lagenda dan satu telefon bimbit.

“Kedua-dua suspek yang ditahan berusia 25 dan 30 tahun dengan salah seorang daripada mereka mempunyai dua rekod jenayah lampau membabitkan kes jenayah samun,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Muhammad Idzam, ujian saringan ke atas kedua-dua suspek didapati negatif dadah dan mereka direman selama tujuh hari bermula semalam hingga 11 Oktober ini untuk membantu siasatan.

Susulan tangkapan dari dua serbuan itu, polis juga menahan lima lagi individu tempatan termasuk dua wanita berusia antara 19 hingga 24 tahun di empat lokasi berasingan di Salak Selatan, Pudu, Ampang dan Kajang bermula pukul 8.30 pagi semalam.

“Dalam serbuan itu, kami turut merampas barang kes termasuk sebuah motosikal Yamaha LC 135, sebuah kereta Protos Iswara, dua telefon bimbit dan wang tunai berjumlah RM3,000 dalam serbuan itu.

“Dua daripada suspek berkenaan memiliki rekod jenayah dan dadah, manakala ujian saringan awal air kencing dilakukan mendapati semua suspek negatif dadah.

“Kesemua mereka direman selama enam hari sehingga 11 Oktober nanti bagi membantu siasatan polis yang dijalankan di bawah Seksyen 395 Kanun Keseksaan kerana melakukan samun berkawan,” tegasnya.

Dengan penahanan tujuh suspek berkenaan termasuk lima daripada mereka yang bekerja di agensi penguat kuasa kerajaan, beliau yakin polis berjaya menyelesaikan kes samun di  Cheras pada Ahad lalu.

Muhammad Idzam turut menyeru orang ramai agar menyalurkan maklumat berkaitan kegiatan jenayah di daerah berkenaan dengan menghubungi Hotline Polis Cheras di talian 03-92840083, Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-21159999 atau mana-mana balai polis berhampiran untuk tindakan lanjut.-MalaysiaGazette