Home Nasional Penuntut universiti swasta ditipu RM11,000

Penuntut universiti swasta ditipu RM11,000

Polis sedang memburu dua lelaki dipercayai terlibat kes pukul dalam sebuah restoran di Bandar Mahkota Cheras pada Jumaat lepas.- Gambar hiasan

TEMERLOH – Gara-gara mahu mendapatkan keuntungan 25 peratus menerusi skim pelaburan yang tidak wujud, seorang penuntut lelaki di universiti swasta kerugian RM11,000.

Ketua Bahagian Jabatan Siasatan jenayah  Komersial Negeri, Superintendan Mohd Wazir Mohd yusof berkata, kejadian berlaku selepas mangsa berkenalan dengan suspek yang menggunakan nama Michelle Zi Ying melalui Facebook dan berhubung melalui WhatsApp pada 19 September lalu.

Suspek memperdayakan mangsa dengan menceritakan tentang pelaburan dan keuntungan diperoleh dalam masa sehari.

“Zi Ying menceritakan beliau selalu melabur  sebanyak RM30,000.00 dan boleh mendapat 25% keuntungan dan semua proses tersebut cuma memerlukan masa selama 30 minit sahaja.

”Kemudian suspek meminta pengadu memasukkan wang jika pengadu berminat untuk menyertai pelaburan tersebut dan suspek memberitahu akan mengajar pengadu untuk melakukan kerja part time dengan mendaftarkan diri di aplikasi http://mfacorp.net,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Jelas Wazir, selesai sahaja mangsa membuat pendaftaran, pelajar tahun pertama universiti swasta itu telah memasukkan wang ke dalam satu akaun pada 27 dan 28 September lalu.

Mangsa telah melakukan empat kali pindahan wang yang berjumlah RM11,000 namun tidak dikembalikan.

Kata Wazir, mangsa kemudian membuat laporan polis setelah rasa ditipu apabila suspek tidak dapat dihubungi.

Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun dan boleh dikenakan sebat dan boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan. – MalaysiaGazette