SEBERANG PERAI – Tiada isu penganiayaan terhadap dua ekor babi yang ditinggalkan penyewa di sebuah kediaman teres dua tingkat di Tasek Mutiara, Simpang Ampat di sini baru-baru ini.
Itu kata Datuk Bandar Majlis Seberang Perai, Datuk Rozali Mohamud yang meninjau lokasi bersama jawatankuasa pengurusan bersama (JMB) kira-kira jam 12 tengahari semalam selepas mendapat aduan daripada penduduk.
Jelas beliau, pihaknya sudah menyiasat dan bertemu dengan penyewa rumah yang juga pemilik haiwan berkenaan.
“Susulan itu, notis pembersihan kediaman dan menghentikan pemeliharaan haiwan yang menyebabkan kacau ganggu sudah diberi kepada penyewa berkenaan.
“Pemilik haiwan itu diberi masa 24 jam bagi menyelesaikan masalah berkenaan bukan tempoh tiga hari seperti yang didakwa penduduk.
“Notis berkenaan adalah seiring dengan tempoh notis yang dikeluarkan pihak JMB sendiri,” katanya ketika dihubungi MalaysiaGazette hari ini.
ARTIKEL BERKAITAN
Mengulas lanjut, Rozali berkata, pihaknya telah melakukan pemantauan di lokasi pada hari ini dan mendapati kerja pembersihan sudah dijalankan.
“Pegawai veterinar yang berada di lokasi mendapati, tiada isu pengabaian atau penganiayaan terhadap haiwan itu.
“Isu ini lebih menjurus kepada kacau ganggu ekoran bau, najis dan kediaman yang tidak diselenggara susulan pemeliharaan haiwan itu.
“Selain itu, dua ekor haiwan peliharaan itu juga akan dipindah keluar ke pusat jagaan khas oleh pemiliknya pada petang ini,” jelas Rozali.
Terdahulu MalaysiaGazette melaporkan, tindakan penyewa rumah teres dua tingkat di Tasek Mutiara di sini, meninggalkan dua ekor babi yang dibela sebelum berpindah menimbulkan rasa kurang senang terhadap kejiranan. – MalaysiaGazette