
SHAH ALAM – Lima kakitangan sebuah hospital di Selangor direman lima hari selepas disyaki meminta dan menerima wang suapan daripada ejen sebagai balasan mendapatkan kerja-kerja pengurusan jenazah.
Permohonan reman dibuat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Mahkamah Majistret Shah Alam, pagi tadi.
Terdahulu, kelima-lima kakitangan hospital itu hadir dengan tangan bergari dibawa oleh anggota SPRM pada jam 9.14 pagi tadi.
Kesemua suspek yang berumur antara 34 hingga 44 tahun itu ditahan semalaman selepas memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM, Selangor.
Dilaporkan, kegiatan meminta suapan ini dipercayai dilakukan sejak Ogos 2019 hingga Ogos 2021.
Jumlah suapan lebih RM20,000 dan melibatkan lebih kurang 100 waris jenazah.
Pengarah SPRM Selangor, Datuk Alias Salim semalam dilaporkan berkata, kesemua suspek yang disiasat mengikut Seksyen 17 (a) Akta SPRM 2009 akan dibawa ke Mahkamah Majistret Shah Alam esok untuk permohonan reman.-MalaysiaGazette