KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Pontian, Datuk Seri Ahmad Maslan menarik diri daripada menjadi calon Timbalan di-Pertua Dewan Rakyat.
Beliau mengumumkan perkara tersebut dalam sidang media di Bangunan Parlimen di sini hari ini.
Sebelum ini, Ahmad merupakan satu-satunya calon daripada blok kerajaan untuk dilantik ke jawatan tersebut.
Blok pembangkang pula mencalonkan Ahli Parlimen Teluk Intan yang juga bekas Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Nga Kor Ming mewakili Pakatan Harapan (PH).
Semua ahli Parlimen Bersatu serta empat ahli Parlimen bebas yang berpihak kepada parti itu telah bersetuju untuk berkecuali semasa undian dibuat
Awal hari ini, Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam satu kenyataan menegaskan pendirian menolak sebarang usul untuk melantik tiga jawatan Timbalan Speaker Dewan Rakyat.
Artikel berkaitan
- PN tidak sokong cadangan wujudkan satu lagi jawatan Timbalan Yang di-Pertua Dewan Rakyat
- Pemilihan Timbalan Speaker Dewan Rakyat ditangguh
- PM yang calonkan nama saya – Ahmad Maslan
Pada 29 September, Ahmad yang juga merupakan Setiausaha Agung UMNO dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpr daripada tuduhan gagal mengisytiharkan wang RM2 juta diterima daripada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan memberi pernyataan palsu kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Hakim Datuk Ahmad Shahrir Mohd Salleh membuat keputusan itu selepas Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Mukhzany Fariz Mohd Mokhtar, memaklumkan mahkamah bahawa pihak pendakwaan menarik balik kesemua pertuduhan selepas Ahmad bersetuju kesnya dikompaun RM1.1 juta.
Berita lanjut menyusul. – MalaysiaGazette