Home Nasional Dokumen sediakan RMK-12 bukan RM2 bilion – Tok Pa

Dokumen sediakan RMK-12 bukan RM2 bilion – Tok Pa

Mustapa Mohamed

KUALA LUMPUR – Kos sebenar untuk menyediakan dokumen Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) hanya berjumlah RM4.2 juta bukan RM2 bilion seperti didakwa.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamad berkata, perkara itu tidak pernah didedahkan sebelum ini.

Jumlah tersebut jelas membuktikan kerajaan tidak membelanjakan sehingga RM2 bilion seperti yang didakwa Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Saya ingin menegaskan bahawa RMK-12 tidak disediakan oleh perunding asing tetapi pegawai Unit Perancang Ekonomi (EPU) dengan kerjasama kementerian, agensi serta sokongan beberapa pihak berkepentingan lain,” katanya pada sesi penggulungan RMK12 di Dewan Rakyat hari ini.

Menurut Mustapa, pihaknya juga mendapat khidmat nasihat dari Institut Tadbiran Awam Negara, perunding tempatan serta bekas pegawai kanan EPU untuk menyemak secara konsisten serta menambah baik gaya, bahasa dan kaedah penyampaian dokumen agar lebih mudah difahami.

“Penyediaan dokumen RMK-12 hanya melibatkan kos yang amat kecil termasuk perbelanjaan libat urus, percetakan dan perunding media iaitu RM4.2 juta dan bukan RM2 bilion.

“Oleh itu, dakwaan Yang Berhormat Port Dickson (Anwar) bahawa sebanyak RM2 bilion dibelanjakan untuk menyiapkan RMK-12 adalah tidak berasas,” tegas beliau. – MalaysiaGazette