KUALA LUMPUR – Lembaga Peperiksaan (LP) mengguna pakai prosedur piawai badan pentaksiran berdasarkan teori dan amalan pentaksiran pendidikan yang diiktiraf di peringkat antarabangsa dalan penentuan Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM).
Menteri Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin berkata, bagi tujuan penandaarasan dan penjaminan kualiti peperiksaan SPM, LP turut melibatkan pakar pentaksiran dari luar negara iaitu Cambridge Assessment International Education and Pearson, United Kingdom.
“Gred yang ditetapkan melalui prosedur itu dan diperaku kesahihannya serta diterima oleh institusi pengajian tinggi dalam dan luar negara.
“Sehubungan dengan itu, keputusan peperiksaan SPM 2020 menunjukkan prestasi pencapaian sebenar calon dengan mengekalkan standard yang telah ditetapkan seperti tahun-tahun sebelum ini,” katanya di Dewan Negara, di sini, hari ini.
Beliau menjawab soalan lisan Senator Dr Ahmad Azam Hamzah yang meminta Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menyatakan adakah graf SPM direndahkan dan tidak menunjukkan prestasi pencapaian sebenar.
Radzi menambah, peperiksaan SPM yang asalnya dijadualkan pada Oktober lalu telah dijadualkan semula sebanyak tiga kali sebelum dilaksanakan pada Februari tahun ini.
Jelas beliau, apabila sekolah dibuka pada 24 Jun tahun lalu, calon SPM telah diberi keutamaan hadir ke sekolah untuk pengajaran dan pembelajaran secara bersemuka.
Menurutnya, begitu juga apabila sekolah dibuka semula pada 20 Januari lalu yang mana penjadualan semula tarikh peperiksaan telah memberi ruang dan peluang kepada calon untuk membuat persediaan rapi secara intensif sebelum menduduki peperiksaan.
“Bagi memastikan calon SPM 2020 dapat meneruskan pembelajaran dan bersedia sepenuhnya untuk menduduki peperiksaan, KPM telah melaksanakan inisiatif tambahan seperti meningkatkan jumlah masa siaran TV Pendidikan yang memfokuskan kandungan mata pelajaran Tingkatan 5.
“Malahan, DidikTV KPM turut memberi pengkhususan slot bimbingan untuk persediaan calon peperiksaan SPM 2020.
“Usaha berterusan dan komitmen padu daripada calon, guru, warga sekolah, PIBG (Persatuan Ibu Bapa dan Guru), serta masyarakat telah memberi impak positif kepada pencapaian calon SPM 2020.
“KPM sentiasa berusaha dan komited untuk memberikan yang terbaik dalam pendidikan demi masa depan anak bangsa,” katanya. – MalaysiaGazette